KOTA KINABALU: Peguam mewakili seorang kanak-kanak dalam kes berkait buli membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, tampil membuat laporan polis berhubung lagi insiden buli didakwa berlaku di sekolah sama di mana arwah ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu.
Datuk Ram Singh yang mewakili pelajar A di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan inkues kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Koroner, membuat laporan di Balai Polis Luyang, di sini, hari ini.
Laporan itu bertujuan meminta polis menyiasat sama ada pihak berkaitan melaksanakan langkah pencegahan buli di sekolah terbabit selepas kejadian menimpa arwah.
Dalam laporan polisnya, Ram berkata, beliau tampil membuat laporan itu atas keprihatinan terhadap keselamatan, kebajikan dan disiplin pelajar di sebuah sekolah di daerah Papar yang sebelum ini dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina yang masih menjadi subjek di Mahkamah Koroner.
"Saya sangat mengambil berat apabila menerima maklumat berkaitan satu lagi insiden buli didakwa berlaku di sekolah sama.
"Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, insiden itu (didakwa) berlaku pada 13 Mei 2026 dan membabitkan tiga pelajar lelaki.
"Saya difahamkan bahawa bapa mangsa membuat satu laporan polis, siasatan dijalankan dan tiga pelajar itu didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di Papar.
"Saya juga difahamkan bahawa mahkamah telah memerintahkan ketiga-tiga pelajar itu menjalankan 120 jam servis komuniti di sekolah sama," katanya.
Beliau berkata, insiden itu amat mengejutkan kerana berlaku ketika inkues kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina masih berlangsung.
"Ini menimbulkan persoalan serius sama ada berlaku kekurangan dalam sistem disiplin sekolah itu, penyeliaan, pengurusan asrama dan keseluruhan pemantauan terhadap kebajikan serta keselamatan pelajar.
"Dalam perkara ini, saya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada berlaku sebarang unsur kecuaian, pengabaian tugas, atau sebarang unsur kesalahan pihak bertanggungjawab bawah undang-undang berkaitan," katanya.
Ram turut meminta pihak penyiasat memeriksa sama ada berlaku kegagalan mematuhi prosedur, dasar atau panduan disediakan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS) atau pengurusan sekolah dalam memastikan keselamatan, kebajikan serta perlindungan terhadap pelajar di sekolah terbabit.
Sebagai tambahan, katanya, beliau juga meminta polis menyiasat sama ada pihak berkaitan sudah melaksanakan pendekatan pentadbiran yang perlu, mekanisme pemantauan dan langkah pencegahan susulan insiden terdahulu, bagi mengelak kejadian atau kesalahan disiplin yang sama daripada berulang.
"Jika hasil siasatan mendapati ada sebarang kecuaian, pelanggaran tugas atau undang-undang oleh mana-mana individu atau agensi yang bertanggungjawab, saya meminta supaya tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang," katanya.
Ram berkata, laporan polis itu dibuat atas kepentingan awam, selain bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua pelajar kekal menjadi pertimbangan tertinggi dan insiden itu tidak berulang lagi pada masa depan.
























