KUALA LUMPUR : Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan 'Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia' tidak boleh dipandang ringan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, retorik sedemikian memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia.
Beliau berkata, hakikatnya, bagi jutaan warga negara ini sama ada berketurunan Cina dan India, Malaysia adalah tanah air mereka.
"Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warga negara tanpa mengira keturunan.
"Setiap warga negara yang sah mempunyai tanah air sama, dilindungi Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semua pemimpin dan jentera politik wajib bertanggungjawab terhadap setiap perkataan yang dilontarkan.
"Isu menyentuh kaum, agama dan institusi diraja bukan alat untuk membangkitkan kemarahan atau ketakutan demi meraih undi.
"Rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen membincangkan perkara benar-benar mempengaruhi kehidupan mereka, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat dan masa hadapan anak-anak," katanya.
Mengulas lanjut katanya, Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk memperoleh sokongan.
"Kita menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan dan sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara. BN ialah rumah bersama seluruh rakyat.
"Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara," katanya.
Katanya, BN gabungan dibina atas kesepakatan rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang, dimana kerjasama antara UMNO, MCA, MIC serta parti komponen BN membuktikan kestabilan negara tidak lahir daripada politik kebencian.
Sebaliknya, kata beliau, ia hadir daripada keupayaan rakyat yang berbeza untuk duduk, berunding dan membina masa hadapan bersama.
"Itulah jati diri BN sejak dahulu. Kita mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan hak, maruah dan kedudukan sah mana-mana warga negara," katanya.
























