BH Online
Ringkasan Berita

3 anak Harimau Bengal Putih - Rory, Bima, DB - tarikan terbaharu Zoo Kemaman

CHUKAI: Tiga anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan kepada orang ramai hari ini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Kemaman, Bukit Takal, Kijal di sini.
3 anak Harimau Bengal Putih - Rory, Bima, DB - tarikan terbaharu Zoo Kemaman

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan tiga anak Harimau Bengal Putih di Zoo Kemaman, hari ini. - BERNAMA

CHUKAI: Tiga anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan kepada orang ramai hari ini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Kemaman, Bukit Takal, Kijal di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata ketiga-tiga anak harimau jantan itu diberi nama Rory, Bima dan DB, hasil pembiakan pasangan Harimau Bengal Putih iaitu Lela Andika dan Luna Seroja.

Beliau berkata anak harimau berkenaan dilahirkan di Zoo Kemaman pada 14 Mac lalu setelah Luna Seroja melalui tempoh bunting selama 104 hari.

"Kelahiran tiga anak harimau itu satu pencapaian membanggakan kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku bagi spesies Harimau Bengal Putih.

View on Threads

"Harimau Bengal Putih lazimnya melahirkan satu hingga dua ekor anak bagi setiap kelahiran.

"Namun kali ini, Luna Seroja melahirkan tiga anak jantan menjadikan kelahiran ini amat istimewa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Rasmi Anak Harimau Bengal Putih di Ruang Pameran Zoo Kemaman di sini hari ini.

Harimau Bengal Putih atau Panthera tigris tigris merupakan variasi genetik yang jarang ditemui dan terkenal dengan bulu berwarna putih serta belang hitam, menjadikannya antara spesies yang paling mendapat perhatian di zoo seluruh dunia.

Razali berkata pasangan Harimau Bengal Putih itu yang kini berusia dua tahun berasal dari Cape Town, Afrika Selatan sebelum dibawa ke Zoo Kemaman pada 2024.

Beliau berkata sejak dilahirkan, ketiga-tiga anak harimau itu dipantau secara rapi oleh pasukan veterinar dan penjaga haiwan bagi memastikan kesihatan serta tumbesarannya berada pada tahap terbaik.

"Anak-anak harimau ini membesar dengan baik bersama induknya sebelum bersedia dipertontonkan kepada orang ramai.

"Selain menjadi tarikan pelancongan, kami berharap pengunjung dapat memahami kepentingan usaha pemuliharaan spesies terancam serta menghargai khazanah hidupan liar negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Zoo Kemaman Wan Muzammir Wan Ariff berkata zoo berkenaan yang mula dibuka kepada orang ramai pada 2009 kini menempatkan kira-kira 380 ekor haiwan daripada pelbagai spesies.

Beliau berkata Zoo Kemaman merekodkan kehadiran kira-kira sejuta pengunjung sepanjang tahun lalu.

"Penampilan tiga anak Harimau Bengal Putih ini dijangka menjadi tarikan utama Zoo Kemaman dan dijangka jumlah pengunjung meningkat kepada lebih 1.5 juta orang pada tahun ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan