ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kenyataannya berkait isu Tanah Melayu sebagai satu-satunya tempat tinggal orang Melayu ketika ceramah di Negeri Sembilan kelmarin sengaja diputar belit demi kepentingan politik.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah itu berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya itu.
"Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.
"Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba untuk memesongkan fakta," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day peringkat negeri Kedah di Suka Menanti, hari ini.
Dalam ceramah di Jempol kelmarin, Muhammad Sanusi dilaporkan dilaporkan berkata "Tanah Melayu" adalah satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kenyataannya sebelum ini hanya menyentuh fakta sejarah, malah ucapan beliau pada malam itu juga tidak dituju kepada individu tertentu.
"Butiran dia jelas. Saja orang nak manipulasi, dia ambil sekerat, dia ulas, dia tambah sendiri. Lepas itu dia buat isu. Itu saja.
"Takkan bahasa Malaysia orang tak faham. Saja digembar-gemburkan untuk meraih keuntungan politik dan memburukkan saya," katanya sambil menegaskan sejarah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan kerana ia fakta yang perlu dipelajari bagi memahami peristiwa lampau serta merancang masa depan.
Tambah beliau lagi, pihak yang menyebarkan video atau laporan didakwa tidak menggambarkan kenyataan sebenar perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
"Saya tak tahu siapa. Saya tak kenal orang tu pun. Mereka tak popular. Kalau cari populariti di atas video-video macam tu. Apa bendalah?
"Mereka hantar video kata ada orang buat laporan polis, saya akan buat laporan balas kalau dia memesongkan apa yang saya cakap.
"Saya cakap benda lain, dia kata benda lain. Saya tak kata apa yang dia kata saya kata. Cakap benda yang betul. Kita tak perlu takut selagi kita betul. Yang takut itu sebab dia tak betul," katanya.
























