KUALA PILAH: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, mahu meneruskan perancangannya yang terhenti separuh penggal lalu, sekiranya kembali dipilih menjadi wakil rakyat.
Penyandang kerusi DUN Pilah itu berkata, banyak perancangan dan inisiatif dilakukan terutama ketika menjawat jawatan EXCO Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum terhenti pada separuh penggal.
"Contohnya, pembangunan di Kuala Pilah semakin pesat. Kita lihat pentadbiran peringkat negeri dan peringkat Persekutuan dapat dinikmati rakyat.
"Cuma dari segi pembangunan itu perancangannya memerlukan tempoh. Jadi, bila tersekat dua tahun setengah ini, perancangan itu terhenti," katanya ketika ditemui selepas menyantuni pengunjung Program Nenas di pekarangan Dewan Bahaman di sini, hari ini.
Dalam PRN kali ini, Noorzunita yang bertanding mewakili PKR, ditentang dalam persaingan satu lawan satu oleh calon BN, S Leza Md Yasin.
Jika kembali diberi mandat, Noorzunita merancang memberi tumpuan kepada isu pendidikan dan peluang pekerjaan membabitkan golongan muda.
"Kita nak anak-anak di Pilah ini mendapat akses pendidikan tanpa tersekat. Mungkin untuk tempoh lima tahun, ada siri perancangan untuk kita menambah baik fasiliti pendidikan anak-anak.
"Kita nak di mana-mana ataupun pembangunan itu mesti selitkan kemudahan pendidikan anak-anak. Tidak hanya di sekolah, tetapi fasiliti pendidikan itu ada di Pilah ini.
"Contohnya di pusat khidmat, di peringkat JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), di peringkat kampung, jadi anak-anak tidak terkekang hanya di sekolah sahaja mendapatkan pendidikan," katanya.
Beliau juga akan cuba mewujudkan peluang kepada golongan muda di DUN Pilah supaya mereka tidak berhijrah.
"Kita mahukan anak-anak Pilah ini tidak berhijrah keluar dari Pilah untuk mendapatkan pekerjaan, tapi peluang pekerjaan ada di Kuala Pilah.
"Itulah harapan kita jika diberi mandat. Kita mahukan Pilah ini membangun dan ekonominya di dalam Kuala Pilah itu sendiri," katanya.
























