KUALA LUMPUR: Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, dekat sini, hanya akan dimulakan pada Isnin ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata tapak kejadian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor petang semalam.
Katanya, penilaian awal oleh pegawai penyiasat bersama Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut dimulakan petang semalam.
"Bagaimanapun, anjing Unit K9 tidak dapat memasuki kawasan titik panas kerana keadaan dalam kawasan kebakaran masih berbahang dan panas.
"Sehubungan itu, Bahagian Penyiasatan Kebakaran akan memulakan siasatan pada Isnin ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud unsur khianat atau kecuaian yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran, Ashrul berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
"Setakat ini, perkara itu masih dalam siasatan," katanya.
Semalam, BH melaporkan dua anjing pengesan JBPM iaitu Rusty dan Sam, digerakkan ke lokasi kebakaran bagi membantu siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Kedua-dua anjing terlatih daripada baka Cocker Spaniel dan Springer Spaniel itu kemudian memulakan pencarian di celah runtuhan serta sisa kebakaran bagi membantu mengenal pasti punca kebakaran dengan memakai but keselamatan khas.
Kebakaran membabitkan Blok B4 pasar borong itu, iaitu bangunan kelas B berkeluasan 100 kaki Ă— 100 kaki yang menempatkan tiga premis, masing-masing sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, kedai menjual telur serta kedai perkakasan.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan berjaya dipadamkan pada jam 6.35 pagi semalam selepas operasi pemadaman sepanjang malam.
Kerja punggahan sisa bahan bakar kemudian dijalankan dengan bantuan jengkaut bagi memudahkan siasatan serta kerja akhir pemadaman.
Kerja berkenaan selesai jam 5 petang semalam dengan pemeriksaan mendapati tiada mangsa serta tiada lagi punca api merebak di lokasi.
Tapak kejadian kemudian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.
























