BH Online
Ringkasan Berita

Konvoi antarabangsa Palestin mulakan perjalanan darat dari Perancis

KUALA LUMPUR: Wakil masyarakat sivil dan sukarelawan yang menyertai Konvoi Palestin berlepas dari Perancis menuju ke Srebrenica di Bosnia dan Herzegovina, lokasi pertemuan pertama bagi konvoi darat antarabangsa yang akan bergerak ke arah Tebing Barat yang diduduki.
Konvoi antarabangsa Palestin mulakan perjalanan darat dari Perancis

Keadaan kawasan penduduk di Palestin selepas serangan Israel. - Foto fail The New Arab

KUALA LUMPUR: Wakil masyarakat sivil dan sukarelawan yang menyertai Konvoi Palestin berlepas dari Perancis menuju ke Srebrenica di Bosnia dan Herzegovina, lokasi pertemuan pertama bagi konvoi darat antarabangsa yang akan bergerak ke arah Tebing Barat yang diduduki.

Dalam kenyataan menerusi akaun Instagram rasminya semalam, penganjur berkata inisiatif bebas yang diterajui orang awam itu bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin.

Menurut kit media antarabangsa konvoi itu, laluan perjalanan yang dirancang akan melalui Turkiye, Iraq dan Jordan, dengan delegasi pelbagai negara dijangka berhimpun berhampiran sempadan Tebing Barat.

Peserta dari Perancis akan bertemu delegasi dari negara Eropah yang lain di Srebrenica sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul, lokasi konvoi antarabangsa itu dijangka berhimpun.

Penganjur, Palestine Convoy yang menyifatkan gerakan itu sebagai gerakan solidariti antarabangsa bebas berteraskan rakyat, berkata Srebrenica dipilih sebagai lokasi perhimpunan awal bagi memperingati tragedi kemanusiaan besar pada masa lalu serta menyeru supaya penderitaan seumpamanya tidak berulang.

Peserta akan menggunakan kereta, van, bas, motosikal dan basikal, manakala pertemuan serta acara awam turut dirancang di sepanjang laluan bagi meningkatkan kesedaran dan memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Gerakan itu berkata ia berpegang teguh kepada pendekatan aman dan tanpa kekerasan, serta lebih tertumpu kepada usaha advokasi berbanding misi bantuan kemanusiaan.

Lebih 500 aktivis, petugas kesihatan, pelajar, anggota kesatuan sekerja, ahli akademik, seniman, pemimpin keagamaan dan orang awam dijangka mengambil bahagian.

Peserta terdiri daripada wakil Malaysia, Indonesia, Perancis, Jerman, Kanada, Switzerland, Australia, Chile, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Finland, Belanda, TĂ¼rkiye, Tunisia, Algeria, Libya, Maghribi, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belgium.

Konvoi itu turut bertujuan menentang pendudukan Israel di wilayah Palestin serta berkempen membantah undang-undang hukuman mati Israel yang disifatkan penganjur bersifat diskriminasi terhadap tahanan Palestin.

– BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan