BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang masalah buli yang masih berlaku di sekolah, meskipun pelbagai usaha sudah dilaksanakan untuk memperkukuh pendidikan, akhlak dan pembentukan sahsiah pelajar.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak menyenangi dengan perkara berkenaan ketika banyak pihak berkali-kali membicarakan soal perubahan, pendidikan dan akhlak dalam sistem persekolahan.
"Saya sangat tidak senang kerana apa? Kalau dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya dengar ada satu kes buli di sekolah. Saya sangat tidak senang.
"Ini kerana kita bicara soal perubahan, pendidikan, akhlak namun di kalangan anak-anak masih berlaku begitu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar berkata, semua pihak perlu memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan kezaliman pelaku terhadap mangsa.
Katanya, terdapat keadaan apabila sesuatu kes tidak dihebahkan kerana pihak sekolah mahu mengelakkan publisiti negatif.
"Mungkin tak betul, tak ramai. Tetapi kena ingat, masalah ini berlaku di semua sekolah tanpa kecuali dan kalau tidak dihebahkan banyak kerana pengetua atau guru cuba melindungi, tidak mahu berita negatif. Tetapi akan ada satu kezaliman kerana yang didera itu tak terbela," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa guru, pengetua dan pelajar bersama-sama memikul tanggungjawab membentuk persekitaran sekolah yang selamat serta berteraskan nilai akhlak yang tinggi.
"Sebagaimana majlis hari ini ia bukan sekadar merasmi satu sekolah baharu yang lebih canggih dan indah tapi biar hasilnya juga canggih dan indah.
"Kadang-kadang orang terpukau. Nak masjid, yang paling indah, yang cantik. Nak sekolah ini, gagah, indah tetapi kurang penekanannya terutama pengisian daripada segi ilmu," katanya.
Anwar berkata, perubahan tidak hanya bergantung kepada kemudahan atau status sesebuah institusi pendidikan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui keperibadian, disiplin dan amalan baik setiap warga sekolah.
"Bukan saja guru, tetapi anak-anak bertanggungjawab. Kita ini harus beri contoh yang terbaik kerana perubahan itu berdasarkan peribadi dan akhlak terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa pembangunan pendidikan bukan sekadar memberi tumpuan kepada aspek fizikal seperti bangunan dan kemudahan sekolah, sebaliknya perlu disertai pengisian ilmu serta pembentukan nilai dan akhlak pelajar.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah institusi pendidikan diukur melalui kualiti sahsiah dan ilmu yang dimiliki pelajarnya, selaras dengan matlamat melahirkan generasi berilmu, beretika dan berakhlak mulia.
























