BH Online
Ringkasan Berita

Kenyataan Sanusi tak menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam sebuah negara merdeka hampir 70 tahun - Anwar

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum lain tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam sebuah negara yang telah merdeka hampir 70 tahun.
Kenyataan Sanusi tak menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam sebuah negara merdeka hampir 70 tahun - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin semasa hadir pada majlis perasmian sekolah berkenaan hari ini.

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum lain tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam sebuah negara yang telah merdeka hampir 70 tahun.

Anwar berkata, Malaysia dibina atas semangat perpaduan dan penerimaan terhadap semua kaum yang menerima Perlembagaan serta menjadi warga yang baik.

"Negara kita sudah merdeka hampir 70 tahun. Saya tidak fikir harus ada mana-mana pemimpin (tidak) bertanggungjawab yang mengeluarkan kenyataan yang begitu, kerana ia menghina kehadiran lain-lain kaum," katanya.

Beliau mengulas kenyataan sinis berunsurkan perkauman dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin.

Terdahulu, Anwar ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun majoriti orang Melayu berasal dari Tanah Melayu, terdapat juga masyarakat Melayu dari Indonesia serta rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang termasuk kaum Cina dan India yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara.

Malah katanya, rakyat Malaysia yang taat kepada negara dan menerima Perlembagaan perlu dirangkul sebagai kekuatan negara, bukannya dipinggirkan.

"Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum negara kita," katanya.

Dalam ceramah itu di Jempol, Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata "Tanah Melayu" adalah satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.

"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya.

Beliau turut mendakwa penguasaan ekonomi dan kuasa politik orang Melayu semakin terhakis selain melemparkan kritikan keras dengan menyamakan sebahagian pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan parti lawan seperti watak "Buang" dalam filem klasik Sarjan Hassan.

Video Terkini

Berita Berkaitan