KUALA PILAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya mengelak kenyataan yang boleh membangkitkan sensitiviti kaum dan agama sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Kedah itu sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran negerinya sendiri berbanding berkempen di Negeri Sembilan.
"Saya tidak berniat untuk menasihatinya, sebaliknya sekadar mengingatkan. Walaupun di dalam hati ada harimau, apabila bercakap, biarlah yang keluar itu kambing.
"Saya tidak mahu timbul sebarang tafsiran yang akhirnya boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelbagai kelompok masyarakat.
"Jika niat beliau adalah untuk menunjukkan perpaduan ummah, tidak perlu menyentuh isu yang melibatkan kaum, agama, budaya atau latar belakang kaum lain di negara ini," katanya selepas menghadiri Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang.
Sanusi ketika berucap pada satu ceramah di Jempol dilapor berkata orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain, manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thai masing-masing mempunyai negara yang dikaitkan dengan etnik mereka.
Ahmad Zahid berkata, kepelbagaian masyarakat di Malaysia adalah sebahagian daripada realiti sosial negara dan tidak sepatutnya dieksploitasi bagi tujuan politik.
"Saya yakin dengan masyarakat majmuk di negara ini. Kepelbagaian ini adalah sunnatullah. Tidak perlu membangkitkan perkara sedemikian.
"Jika benar mereka mahu membina hubungan persahabatan, lakukanlah dengan cara yang betul dan bukannya dengan membangkitkan isu-isu lain," katanya.
Beliau turut menggesa Sanusi supaya kekal berada di Kedah sepanjang baki tempoh kempen dan tidak lagi hadir berkempen di Negeri Sembilan.
"Kalau boleh, sehingga hari Sabtu nanti, kita masih mempunyai enam hari lagi untuk berkempen. Lebih baik beliau menyibukkan diri mentadbir Kedah.
"Saya tidak fikir beliau perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan Negeri Sembilan mengikut cara kami sendiri," katanya.
























