BH Online
Ringkasan Berita

AS beri 2 tahun untuk Malaysia perkemas undang-undang berkait buruh paksa - Johari Ghani

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memperuntukkan tempoh dua tahun kepada Malaysia untuk memperkemas undang-undang negara, antaranya membabitkan isu berkaitan buruh paksa.
AS beri 2 tahun untuk Malaysia perkemas undang-undang berkait buruh paksa - Johari Ghani

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Hotel St. Regis. - NSTP/ Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memperuntukkan tempoh dua tahun kepada Malaysia untuk memperkemas undang-undang negara, antaranya membabitkan isu berkaitan buruh paksa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjelaskan ia antara perkara yang terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai antara kedua-dua negara yang kini menunggu proses untuk ratifikasi.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sudah dimaklumkan mengenai perkembangan itu, termasuk melakukan perubahan merangkumi beberapa seksyen terkait isu buruh paksa bagi mengelak produk dihasilkan di Malaysia yang menggunakan bahan mentah diimport dari negara ketiga, tidak terkesan.

"Dua tahun (tempoh diberi) bukan immediate (segera) sebab perjanjian sudah ditandatangani. Sebaik kita sudah meratifikasi elemen terbabit, maknanya dia bagi dua tahun untuk betulkan undang-undang yang kita tidak ada.

"Kalau ada undang-undang (itu) dalam negara, maknanya kalau anda mengambil pekerja asing tanpa permit (lalu) boleh masuk penjara, kena denda. Kalau anda gunakan pendatang asing tak ada kelulusan duduk di ladang, kena tangkap dan produk anda tak boleh jual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2026 di sini hari ini.

Mengulas hasil siasatan buruh paksa oleh AS ke atas Malaysia yang menyaksikan negara dikenakan tarif 10 peratus, Johari menyifatkan kadar itu masih rendah berbanding negara lain.

Beliau menjelaskan tarif itu dikenakan selepas AS mendapati Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus bagi menangani isu buruh paksa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia menyatakan komitmen dalam ART untuk memperkenalkan undang-undang berkenaan sebaik perjanjian itu dimuktamadkan.

"Mereka sudah lakukan siasatan ke atas isu buruh paksa dan kita akan dikenakan (tarif) 10 peratus berbanding negara lain yang dikenakan dalam 12.5 peratus.

"Jadi mana-mana syarikat atau industri yang ambil buruh tidak mengikut organisasi buruh antarabangsa contohnya dan terjebak dalam buruk paksa, dia boleh dikenakan tindakan kerana kita ada undang-undang.

"Tetapi sebab kita tidak ada undang-undang untuk melindungi negara lain yang guna buruh paksa, kemudian bawa masuk barang dalam negara kita sebagai input dan kita proses barang itu jadi produk Malaysia untuk eksport.

"Jadi mereka dapati sebahagian komponen itu adalah (membabitkan) buruh paksa, yang itu kita kena sebab kita tidak ada undang-undang dan tidak ada mekanisme. Jadi sementara kita nak buat undang-undang ini, dia kenakan kita 10 peratus," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan