KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan oleh lebih 4,200 pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan tentera Israel pada Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra menegaskan, tindakan berkenaan adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kenyataan itu, tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam itu juga pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir tapak suci berkenaan.
"Malaysia memandang provokasi melampau itu sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
"Tindakan itu bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa dan mengubah sejarah, undang-undang serta demografinya. Ia bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia," menurut Wisma Putra.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan sokongan teguh terhadap hak-hak mutlak mereka yang tidak boleh dinafikan.
"Ia termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," menurut kenyataan berkenaan.





















