KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM327 juta bagi melaksanakan projek naik taraf tembok dan pagar sempadan di sepanjang jajaran sempadan Malaysia–Thailand yang meliputi tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen berkata peruntukan itu disalurkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)
"Lokasi projek ini adalah di sepanjang jajaran sempadan antarabangsa Malaysia–Thailand dengan anggaran jarak 115 kilometer (km).
"Ia meliputi negeri Perlis iaitu di Bukit Batu Putih, Padang Besar dan Wang Kelian, selain Kedah di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung, manakala untuk Perak di jajaran kiri dan kanan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit," katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai keberkesanan langkah-langkah kawalan sempadan yang dilaksanakan kerajaan.
Tambah Saifuddin, bagi mempertingkat keupayaan pemantauan di kawasan sempadan darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) mengguna pakai teknologi pengawasan moden seperti dron dan Mobile Surveillance Thermal Radar (MSTR) bagi meningkatkan keupayaan pengesanan di kawasan strategik termasuk pada waktu malam dan di lokasi yang sukar diakses.
Untuk itu, katanya peruntukan RM12 juta diluluskan untuk PDRM di bawah Pelan Pusingan Pertama RMK-12 bagi perolehan empat unit dron lepas landas dan mendarat menegak (VTOL) serta RM7.5 juta lagi di bawah Pelan Pusingan Kedua bagi perolehan lima MSTR, dengan aset berkenaan kini dalam proses pembekalan.

Bagi memperkukuh kawalan keselamatan di perairan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang melaksanakan inisiatif pemodenan digital menerusi pembangunan Maritime Domain Awareness Artificial Intelligence (MDAI) di bawah Inisiatif Maritim Pintar.
"Sistem MDAI sedang dibangunkan dijangka berupaya mengintegrasikan pelbagai sumber data seperti Automatic Identification System (AIS), radar pantai, imej satelit, dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan pengesanan awal aktiviti mencurigakan, analisis corak pergerakan vesel, amaran automatik serta sokongan kepada keputusan operasi secara lebih pantas dan tepat.
"Di samping itu, KDN sedang membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN) yang akan mengintegrasikan teknologi AI, analitik data dan sistem pengawasan pintar bagi membolehkan pemantauan dilaksanakan berterusan, penyampaian maklumat secara masa nyata serta meningkatkan keupayaan pengesanan dan tindak balas operasi di sempadan darat dan maritim negara," katanya.
























