BH Online
Ringkasan Berita

Rakyat Negeri Sembilan bijak menilai manifesto - Johari Ghani

KUALA LUMPUR: UMNO yakin rakyat Negeri Sembilan memiliki kebijaksanaan untuk menilai setiap manifesto yang dibentangkan oleh parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Rakyat Negeri Sembilan bijak menilai manifesto - Johari Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bersama NCCIM, Datuk Seri N Gobalakrishnan (tiga, kanan) menyempurnakan dokumen Kapsul Masa Warisan NCCIM pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 NCCIM, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: UMNO yakin rakyat Negeri Sembilan memiliki kebijaksanaan untuk menilai setiap manifesto yang dibentangkan oleh parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, percaya kecenderungan pengundi di negeri berkenaan tidak hanya bergantung kepada tawaran manifesto semata-mata, sebaliknya mereka juga akan melihat komitmen serta rekod pencapaian sebelum dan selepas pilihan raya.

"Rakyat di Negeri Sembilan boleh menilai sebab semua orang (parti) akan tawarkan manifesto mereka. Jadi biar rakyat menilai.

"Akhirnya, kemenangan sesuatu parti itu bergantung kepada bagaimana rakyat menilai setiap parti, komitmen mereka dan juga apa yang mereka sudah buat sebelum dan selepas," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2026 di sini, hari ini.

Malam tadi, Barisan Nasional (BN) membentangkan manifesto mengandungi 88 usaha berpandukan sembilan teras utama bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.

Manifesto itu turut ditambah dengan 15 Inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto jika BN diberi mandat pada PRN itu.

Mengetengahkan tema 'Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta', manifesto itu dilancarkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan.

Mohamad berkata, tawaran BN dalam manifesto itu bukan 'rancangan tertangguh', sebaliknya menegaskan ia adalah agenda pembangunan negeri itu yang tergendala susulan kekalahan parti berkenaan pada 2018.

Ditanya momentum BN selepas seminggu berkempen termasuk keyakinan mampu menarik pengundi Cina pada PRN kali ini, Johari tidak mahu membuat andaian kerana perkara itu lebih wajar dijawab oleh MCA.

Video Terkini

Berita Berkaitan