JOHOR BAHRU: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanyalah satu bentuk persefahaman, bukannya gabungan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini persefahaman itu baharu dijayakan di Negeri Sembilan dan tidak berlaku lagi ketika PRN Johor.
"Ia satu persefahaman, bukan gabungan. Itu sangat-sangat berbeza. Persefahaman yang kita jayakan di peringkat ini adalah supaya tiada pertembungan.
"Atas sebab itulah, parti-parti ni boleh mempunyai pandangan berbeza-beza. Tiada masalah, sebab kita bukan gabung. Jangan terkeliru dalam soal ini.
"Buat ketika ini (persefahaman berlaku di PRN Negeri Sembilan), tetapi sejauh mana dan ke mana ia akan pergi, kita akan lihat... masa akan menentukan," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan kerjasama antara BN dan PN boleh bertahan lebih panjang susulan kerjasama antara kedua-dua parti itu sangat baik sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
Menurut Mohamed Khaled, persefahaman dibuat untuk kestabilan perpaduan orang Melayu besar maknanya untuk negara dan usaha itu tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak.
Katanya, perpecahan bangsa majoriti di negara boleh menyebabkan negara keseluruhannya berpecah belah.
"Tak wajar ada mana-mana pihak mempertikaikan ataupun merendah-rendahkan. Islam sendiri menyeru kepada perpaduan di kalangan umatnya.
"Jadi, kalau orang Melayu semua ada penyatuan, ada perpaduan yang tinggi, apa masalahnya... itu baik untuk negara, itu satu yang positif.
"BN dengan segala pencapaiannya, pengalamannya dan pendekatan sederhananya, masyarakat lain, kaum-kaum lain tidak patut bimbang lebih-lebih lagi UMNO melalui BN sentiasa bawa kaum-kaum yang lain dan seperti yang telah BN selalu nyatakan... dalam kita nak mengurus Malaysia, kita terima kepelbagaian negara.
"UMNO daripada dahulu mengambil pendekatan menghormati kepelbagaian. Kita di atas sebab kita tidak pernah mengamalkan sikap asimilasi," katanya.
























