KUALA LUMPUR: Kehidupan seorang pelajar Tingkatan Empat, Mohammad Rayan Akram Mohd Khairul Azwa berubah sekelip mata apabila tubuhnya dipenuhi tompok putih akibat penyakit psoriasis (penyakit kulit kronik) yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Perubahan dialami remaja berusia 16 tahun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar 32, di Bera, Pahang, bermula awal tahun lalu apabila tompok putih muncul secara tiba-tiba pada bahagian leher sebelum merebak ke seluruh badan, hanya dalam tempoh tiga bulan.
Anak sulung daripada empat adik-beradik mesra disapa Akram ini berkata, keadaan menjadi semakin teruk pada Disember lalu apabila kulitnya mula tegang sehingga menyukarkannya berjalan seperti biasa.
"Sebelum itu, saya memang ada buat pemeriksaan di klinik kesihatan, namun selepas keadaan semakin teruk, saya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum disahkan menghidap psoriasis.
"Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya ketika itu, terutama apabila doktor memaklumkan tiada ubat boleh menyembuhkan penyakit ini ketika ini, sebaliknya hanya rawatan untuk kawal simptom, mengurangkan keradangan dan mencegah keadaan menjadi lebih teruk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Tambah Akram, dia kini bergantung kepada krim sapuan berharga RM80 sebotol dengan tiga botol diperlukan seminggu bagi mengurangkan kesakitan dialaminya.
"Memang banyak pakai duit untuk beli krim itu, tetapi hanya itu yang dapat mengurangkan rasa sakit. Adakalanya saya terpaksa mengambil panadol apabila keadaan menjadi lebih teruk," katanya.
Anak kepada pasangan Mohd Khairul Azwa Annuar, 39, dan Nor Hamizah Abdul Rahim, 37, turut menerima ejekan dan pandangan sinis segelintir individu yang tidak memahami keadaannya.
"Saya sedih apabila dijadikan bahan ejekan, emosi terganggu. Akibat keadaan itu, saya ambil cuti daripada bersekolah selepas Aidiladha lalu bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan," katanya.
Dia berharap kisah yang dikongsinya di media sosial dapat membuka mata masyarakat supaya tidak memandang rendah atau mengejek individu yang mempunyai masalah kulit sepertinya, sebaliknya memberikan sokongan.
"Saya bukan nak raih simpati, tetapi mahu lebih ramai yang peka tentang penyakit ini. Jangan menghukum kami kerana kami tidak minta mendapat penyakit ini," katanya.
Sementara itu, Nor Hamizah berkata, dia sedih melihat keadaan anaknya yang terpaksa berdepan perubahan besar dalam hidup pada usia remaja.
"Memang tidak ada dalam keluarga pernah menghidap penyakit seperti Akram, jadi memang susah sikit nak terima pada peringkat awal. Namun, saya dan suami perlu kuat demi Akram kerana dia perlukan sokongan," katanya.
Sebagai ibu, dia sedih melihat penderitaan dialami anaknya itu terutama apabila menjadi mangsa ejekan akibat penyakit terbabit.
"Saya hanya mampu menasihatkan anak agar bersabar dan berharap masyarakat lebih prihatin dengan memberikan sokongan kepada pesakit kulit ini kerana mereka perlukan semangat untuk meneruskan kehidupan, bukannya hinaan," katanya.
























