BH Online
Ringkasan Berita

Jubli Perak: UniMAP unggul mencorak masa depan pendidikan TVET negara

ARAU: Tarikh 25 Julai 2026 melakar sejarah tersendiri buat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila institusi itu genap menyambut Jubli Perak penubuhannya selepas 25 tahun memacu pembangunan pendidikan tinggi negara.
Jubli Perak: UniMAP unggul mencorak masa depan pendidikan TVET negara

Zaliman Sauli

ARAU: Tarikh 25 Julai 2026 melakar sejarah tersendiri buat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila institusi itu genap menyambut Jubli Perak penubuhannya selepas 25 tahun memacu pembangunan pendidikan tinggi negara.

Ditubuhkan pada 25 Julai 2001 sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), universiti itu memulakan operasi secara sederhana dengan hanya 119 pelajar perintis yang mengikuti dua program pengajian, iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik dan Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer pada Julai 2002.

Kini, selepas dijenamakan semula sebagai UniMAP pada 2007, universiti itu berkembang menjadi antara institusi teknikal berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disegani di negara ini.

Zaliman Sauli
Zaliman Sauli

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli, berkata jumlah pelajar kini meningkat kepada hampir 16,000 orang dengan lebih 50 program akademik ditawarkan daripada peringkat diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, setiap tahun UniMAP melahirkan antara 3,200 hingga 3,500 graduan manakala lebih 45,000 alumni telah dihasilkan sepanjang tempoh 25 tahun dan kini berkhidmat di pelbagai syarikat tempatan serta antarabangsa.

"Jubli Perak ini bukan sekadar menandakan usia universiti, sebaliknya membuktikan kematangan sebuah institusi yang dipacu industri. Kita bukan hanya melahirkan graduan, malah usahawan dan pencipta peluang pekerjaan," katanya.

Kejayaan UniMAP turut terserlah menerusi pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) yang melebihi 99 peratus selama tiga tahun berturut-turut dengan rekod terkini 99.4 peratus, sekali gus meletakkannya antara tiga institusi pendidikan tinggi (IPTA) terbaik dalam aspek itu.

Menurut Zaliman, pencapaian berkenaan didorong kerjasama erat bersama industri melalui konsep industri dalam kampus. UniMAP kini mempunyai 12 makmal multinasional termasuk Cisco, Huawei dan Siemens yang membolehkan pelajar menggunakan teknologi sama seperti di industri sebenar serta memperoleh sijil profesional yang meningkatkan nilai pasaran mereka.

 Semak silibus setiap tahun 

Pada masa sama, silibus akademik disemak setiap tahun bersama Panel Penasihat Industri (IAP) bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan industri, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dalam mendepani perkembangan kecerdasan buatan (AI), UniMAP turut menubuhkan Fakulti Komputeran Cerdas yang menghimpunkan lebih 900 pelajar dalam bidang kejuruteraan komputer, sains data, sistem terbenam dan AI. Universiti itu juga mewajibkan kursus AI Dalam Masyarakat kepada semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian.

Menjelang sesi akademik 2026/2027, UniMAP memperkenalkan beberapa program baharu seperti Pembungkusan Termaju Semikonduktor, Automotif EV, Keselamatan Siber dan Logistik bagi memenuhi permintaan industri masa depan.

Usaha memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa turut dipergiat menerusi sasaran 1,000 pelajar antarabangsa menjelang 2027.

Ketika ini, UniMAP mempunyai lebih 600 pelajar antarabangsa, selain menjalinkan lebih 200 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan institusi luar negara serta menawarkan program dwiijazah dan latihan industri antarabangsa.

Selain kecemerlangan akademik, penyelidikan UniMAP turut memberi manfaat kepada masyarakat menerusi projek penanaman cendawan yang meningkatkan pendapatan penduduk, pemasangan lampu solar di kawasan sempadan serta pembangunan Perlis Airspace Sandbox yang memacu teknologi dron dan aeroangkasa.

Bagi memastikan semua agenda itu dapat diteruskan, UniMAP memberi penekanan terhadap kemampanan kewangan melalui penjanaan pendapatan, perbelanjaan berhemah serta pengukuhan dana wakaf dan endowmen.

Zaliman berkata, Pelan Strategik UniMAP 2026-2030 akan menjadi panduan baharu bagi memastikan universiti itu terus unggul sebagai institusi TVET dan kejuruteraan bertaraf dunia.

"Selama 25 tahun pertama kita membina asas yang kukuh. Kini tanggungjawab kita ialah memastikan UniMAP terus menjadi universiti rujukan negara yang dihormati di persada global," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan