KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat kerana mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.
Pejabat Istana Terengganu dalam kenyataan yang dikongsi melalui Jabatan Penerangan memaklumkan, Sultan Mizan berada dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, katanya, Sultan Mizan akan meneruskan rawatan susulan seperti dijadualkan pasukan perubatan di luar negara.
"Menjunjung titah Sultan Mizan dan Yang Di Pertuan bagi negeri Terengganu, alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah SWT serta dengan berkat doa seluruh rakyat, Tuanku Sultan kini berada dalam keadaan sihat walafiat.
"Sultan Mizan berada dalam keadaan yang baik dan akan meneruskan rawatan susulan seperti dijadualkan pasukan perubatan baginda di luar negara," katanya melalui kenyataan hari ini.
Kenyataan itu juga berkata, Sultan Mizan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.
"Semuga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan kepada Sultan Mizan serta dipermudahkan segala urusan baginda," katanya.
























