MELAKA: Sepasang suami isteri yang kehilangan seorang cahaya mata akibat jangkitan kuman dan sawan Mei lalu, kini meneruskan perjuangan menjaga tiga lagi anak terlantar akibat sakit kronik, selain seorang berdepan masalah pembelajaran.
Syaifulnizam Abu, 50, dan isteri, Norbaity Zakaria, 44, dari Kampung Surau Batu, Paya Dalam, di sini, dikurniakan 10 cahaya mata, namun seorang meninggal dunia 20 Mei lalu ketika berusia 13 tahun akibat jangkitan kuman dan sawan.
Tiga lagi anak, Muhammad Aiman Ashraf, 17; Nur Adrianna Qaleesya, 14, dan Fatin Nuraisya Medina, 5, memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana tidak mampu menguruskan diri dan tidak boleh bertutur.
Muhammad Aiman menghidap sawan kronik menjejaskan saraf otak, Nur Adrianna menghidap epilepsi kronik sehingga menyebabkan otak mengecut, manakala Fatin Nuraisya, sindrom down dan hipotiroid selain otot mengecut dan tidak boleh bercakap.
Seorang lagi anak, Muhammad Faris Hakimi, 10, yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tambak Paya turut berdepan masalah pembelajaran.
Mereka perlukan hampir RM3,000 sebulan bagi menampung kos rawatan, ubat-ubatan, susu khas, lampin pakai buang serta keperluan harian anak, malah ubat sapu bagi merawat luka melecet akibat terlantar sahaja mencecah RM400 sebulan untuk dua anak.
"Disebabkan mereka hanya mampu ambil makanan mudah dicerna, saya perlu sediakan susu khas berharga sekitar RM80 setin. Namun tak sampai seminggu sudah habis. Mereka juga hanya boleh makan nasi lembik atau bubur," kata Syaifulnizam.
Dia kini hanya bekerja sambilan sebagai insurans selain melakukan pemasangan peralatan mesin pembayaran elektronik (paywave), dengan pendapatan bulanan tidak sampai RM2,000.
"Saya sukar bekerja seperti biasa kerana anak-anak tidak boleh ditinggalkan bersendirian, jadi saya hanya keluar bekerja apabila mempunyai masa yang sesuai.
"Kadang-kadang saya hanya bekerja pada malam sahaja, guna kereta sudah uzur dan kerap rosak. Kalau dapat kerja di lokasi jauh, terpaksa tolak kerana bimbang kereta tidak mampu bergerak," katanya.
Syaifulnizam berkata, anak sulung berusia 22 tahun kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar, Negeri Sembilan, manakala anak lain masih bersekolah rendah dan menengah.
Setakat ini, mereka menerima bantuan bulanan RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan makanan bernilai RM300 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta bantuan persekolahan RM500.
"Namun jumlah itu belum cukup untuk tampung keperluan keluarga, terutama kos rawatan dan keperluan harian anak yang sakit," katanya memaklumkan pusaka didiami mereka juga makin uzur dengan bumbung bocor dan sebahagian struktur rumah dimakan anai-anai.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Syaifulnizam di talian 017-2307020.






















