BH Online
Ringkasan Berita

PDRM syor sistem merit pelajar salur maklumat kes buli, dadah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan sistem merit diperkenalkan kepada pelajar yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah.
PDRM syor sistem merit pelajar salur maklumat kes buli, dadah

Pengarah JPJKK Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan sistem merit diperkenalkan kepada pelajar yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata cadangan itu antara langkah dikemukakan bagi memperkukuh pencegahan susulan beberapa insiden serangan membabitkan pelajar di sekolah kebelakangan ini.

Katanya, langkah itu bagi membantu pihak sekolah mengesan salah laku dan mengambil tindakan pada peringkat awal.

"Sistem merit juga dicadangkan kepada pelajar yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah bagi memupuk budaya berani melapor.

HISAM
Pengarah JPJKK Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin

"Selain itu, dicadang usaha memperluas pemasangan CCTV ke semua sekolah bagi membantu warden dan guru melakukan pemantauan," katanya kepada BH, semalam.

Antara insiden yang mencetuskan kebimbangan ialah kes tikaman maut membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada 14 Oktober tahun lalu.

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ketika kejadian, kemudian didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah berkenaan.

Pada 6 Julai lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga berusia 15 tahun cedera selepas ditikam seorang lagi pelajar perempuan sebaya di sebuah sekolah menengah di Banting.

Mangsa cedera pada beberapa bahagian badan termasuk paru-paru, manakala suspek kemudian didakwa atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekolahnya.

Beberapa hari selepas itu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 13 tahun didakwa mengacukan pisau lipat dan mengejar seorang rakannya kira-kira 50 meter di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.

Seorang guru berjaya memujuk pelajar itu menyerahkan pisau berkenaan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Selain insiden serangan, kejadian buli fizikal dan emosi dalam kawasan sekolah turut mencetuskan kebimbangan kerana boleh memberi kesan berpanjangan terhadap keselamatan, kesejahteraan mental serta perkembangan pelajar.

Syor latihan khusus

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, latihan khusus turut dicadangkan kepada pengawal keselamatan sekolah supaya lebih peka terhadap tanda amaran awal.

"Peranan Kelab Pencegahan Jenayah dan pasukan kadet sekolah juga perlu diperkasakan.

"Langkah ini penting bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengesanan awal di sekolah," katanya.

Mengulas peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), beliau berkata, pegawai berkenaan ditugaskan bagi semua 10,255 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Jumlah itu merangkumi 2,481 sekolah menengah dan 7,774 sekolah rendah.

"Setiap PPS diwajibkan melawat sekolah yang ditugaskan sekurang-kurangnya sekali sebulan," katanya.

Beliau berkata, PPS akan bertemu guru hal ehwal murid dan guru disiplin ketika lawatan bagi mengesan tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar pada peringkat awal.

Katanya, PPS juga turut bekerjasama dengan kaunselor sekolah untuk menangani sesuatu kes sehingga ke peringkat keluarga.

"Mereka juga memberikan taklimat ketika perhimpunan sekolah mengenai isu buli, pergaduhan dan keselamatan lalu lintas.

"PPS turut menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta menjalankan pemeriksaan rambang terhadap beg pelajar dan kelas bersama guru," katanya.

Noor Hisam berkata, rondaan kereta peronda polis dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) turut dijalankan di sekitar sekolah sepanjang waktu persekolahan.

"Bagi sekolah berasrama, rondaan turut dilakukan pada waktu malam dengan lampu amaran kenderaan dinyalakan bagi menunjukkan kehadiran polis.

"Struktur ini membolehkan maklumat disalurkan secara dua hala dan berkala antara sekolah dengan polis.

"PPS bukan sekadar bertindak balas selepas sesuatu kejadian berlaku," katanya.

Beliau berkata, peranan dan kaedah penugasan PPS masih relevan serta berkesan sebagai mekanisme pencegahan jenayah di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanannya bergantung kepada komitmen pentadbiran sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam menyalurkan maklumat awal kepada polis.

"JPJKK memandang serius setiap insiden keganasan atau serangan yang berlaku di institusi pendidikan.

"Penekanan perlu diberikan kepada pencegahan awal melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, masyarakat dan PDRM," katanya.

Noor Hisam berkata, kerjasama semua pihak penting bagi mengenal pasti petunjuk awal yang boleh membawa kepada perlakuan ganas atau salah laku dalam kalangan pelajar.

"Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap pelajar yang disahkan terbabit jenayah atau dadah, selaras peranan sedia ada PPS.

"JPJKK akan terus bekerjasama rapat dengan KPM, pihak sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat untuk semua pelajar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan