KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan berhubung kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, raja dan kaum) membabitkan penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook.
Susulan itu, MCMC berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.
"Selain menjalankan siasatan, MCMC juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedia memberikan bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, sekiranya diperlukan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya menurut kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilapor mengarahkan MCMC dan PDRM menyiasat dakwaan membabitkan akaun media sosial palsu yang dipercayai memuat naik kandungan menghina Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, beliau setakat ini belum menerima maklumat yang mencukupi untuk mengesahkan sama ada dakwaan berkenaan adalah benar atau sebaliknya.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama kerana perbuatan sedemikian berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat sekali gus menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
"Sehubungan dengan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau menghasut khususnya yang membabitkan agama," katanya.























