BH Online
Ringkasan Berita

Isu Tabung Haji: Asyraf Wajdi fail LOD dakwa difitnah, Abied Abdullah ajak berdebat

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut ganti rugi RM5 juta daripada dua individu yang didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Isu Tabung Haji: Asyraf Wajdi fail LOD dakwa difitnah, Abied Abdullah ajak berdebat

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/Fail

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut ganti rugi RM5 juta daripada dua individu yang didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Agung UMNO itu memaklumkan, peguamnya, Datuk Adnan Seman sudah diarah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap dua individu susulan dakwaan fitnah berkenaan.

Mereka ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Amanah Negara (AAMANAH), Datuk Dr Ismail Salleh dan pemilik akaun media sosial, Abied Abdullah.

Menurutnya, LOD berkenaan antara lain menuntut kedua-dua pihak memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, mengemukakan aku janji serta membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

"Saya telah arahkan peguam saya mengeluarkan LOD ke atas Ismail dan pemilik akaun Abied Abdullah (Habin Faisal Mohamed) yang memfitnah, mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan saya dengan isu TH dengan tuntutan permohonan maaf, menarik balik kenyataan, aku janji dan ganti rugi berjumlah RM5 juta.

"Jika gagal, saman akan difailkan," katanya menurut Asyraf Wajdi yang terdahulu mendakwa kedua-dua individu terbabit menyebarkan kenyataan yang mencemarkan reputasi dan maruahnya dengan mengaitkan beliau dalam isu membabitkan TH.

Dalam pada itu, katanya, jika berjaya dalam tindakan saman itu, beliau akan menyalurkan keseluruhan wang ganti rugi yang diterima kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.

"Insya-Allah, jika menang saman fitnah ini kelak, saya berjanji dan bertekad untuk salurkan setiap sen yang diperoleh ke Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah untuk menyambung pengajian mereka," katanya.

Sementara itu, Abied dalam hantaran di Facebook bagi mengulas tindakan Asyraf Wajdi, mencabar Pengerusi MARA itu berdebat di Negeri Sembilan, dipercayai merujuk diadakan debat berkenaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung sekarang.

"Jom debat: Siapa Pegang Kunci TH 2014-2018?". Sediakan pentas di Negeri Sembilan sekarang dan kita debat," tulisnya.

Sebelum ini, Abied Abdullah memuat naik hantaran di Facebook membangkitkan persoalan mengenai isu pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2018, khususnya berkaitan pihak memegang kuasa dan bertanggungjawab dalam rantaian keputusan ketika itu.

Beliau mengaitkan persoalan berkenaan dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu TH dan mempersoalkan sejauh mana akauntabiliti pihak yang memegang jawatan penting dalam tempoh berkenaan.

BH masih berusaha mendapatkan maklum balas Ismail berhubung tindakan Asyraf Wajdi memfailkan LOD terhadapnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan