BH Online
Ringkasan Berita

Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat: Ab Rauf ketuk pintu rumah santuni rakyat

MELAKA: Rumah uzur dibaiki, pesakit menerima bantuan mobiliti, nelayan dibantu mengurangkan kos operasi manakala aduan penduduk yang sekian lama tertangguh akhirnya menemui jalan penyelesaian.
Jelajah Ketua Menteri Sayang  Rakyat: Ab Rauf ketuk pintu rumah santuni rakyat

Ab Rauf menziarahi Anthony dan menyampaikan peruntukan RM20,000 bagi membaik pulih rumahnya di Kampung Gelam, Pantai Kundor. (Foto ihsan Pejabat Ketua Menteri Melaka)

bhnews@bh.com.my

MELAKA: Rumah uzur dibaiki, pesakit menerima bantuan mobiliti, nelayan dibantu mengurangkan kos operasi manakala aduan penduduk yang sekian lama tertangguh akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Itulah gambaran pendekatan pentadbiran yang dibawa menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Sejak diperkenalkan awal tahun ini, program diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu mengubah konsep penyampaian perkhidmatan kerajaan apabila pemimpin, jabatan dan agensi turun sendiri ke lapangan untuk melihat, mendengar serta bertindak terhadap setiap permasalahan rakyat.

Pendekatan pentadbiran yang membawa kerajaan turun padang menerusi program berkenaan dilihat semakin memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat apabila setiap aduan serta permasalahan masyarakat diberikan perhatian secara langsung.

Bukan hanya sekadar lawatan rasmi, aktiviti turun padang dengan cara yang agak berbeza itu menjadi medan untuk Ab Rauf bersama barisan EXCO, ketua jabatan serta agensi kerajaan mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan disusuli tindakan tuntas.

Ab Rauf berkata, jelajah itu juga menjadi kesinambungan kepada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang memberi ruang kepada penduduk mengemukakan aduan, sebelum tindakan susulan dilakukan oleh agensi berkaitan.

melakaadv2
Ab Rauf menziarahi Ramli di Taman Kuala Permai, Kuala Linggi. (Foto ihsan Pejabat Ketua Menteri Melaka)

Katanya, melalui pendekatan itu, kepimpinan negeri tidak lagi hanya bergantung kepada laporan bertulis, sebaliknya turun sendiri ke lapangan bagi melihat keadaan sebenar yang dihadapi rakyat.

"Konsepnya jelas, iaitu kerajaan mesti hadir ketika rakyat memerlukan bantuan atau khidmat kita, bukan hanya menunggu rakyat datang berjumpa kita di pejabat.

"Setiap lokasi hentian, saya akan meneliti permasalahan yang sering menghantui penduduk sehingga memakan masa untuk diselesaikan dan sudah pasti ia membabitkan isu kebajikan, infrastruktur, banjir kilat, perumahan, kemudahan awam dan sumber pendapatan penduduk," katanya.

Sepanjang enam siri jelajah setakat ini, antara kisah yang mencuri perhatian ialah nasib seorang warga emas, Anthony Lim, 60, pesakit polio dari Kampung Gelam, Pantai Kundor yang tinggal di rumah pusaka uzur bersama keluarganya.

Kehidupan yang serba kekurangan itu ditangani, apabila kunjungan Ketua Menteri ke kediamannya baru-baru ini membawa khabar gembira untuk mereka sekeluarga.

Ibarat `pucuk dicita ulam mendatang', kedatangan pemimpin nombor satu Melaka itu membawa seribu rahmat apabila sejumlah RM20,000 peruntukan diluluskan bagi membaik pulih kediamannya yang usang menerusi Program Melaka Rumahku yang dikendalikan Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Susulan itu, Anthony tidak putus-putus berterima kasih yang menyanjung tinggi keprihatinan Ab Rauf serta kerajaan negeri dan menyifatkan kehadiran pemimpin ke rumah rakyat sepertinya membuktikan kesusahan mereka benar-benar diberi perhatian dan tidak sesekali dipinggirkan.

Lain ceritanya di Kuala Linggi apabila keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ab Rauf diterjemahkan melalui bantuan sebuah motosikal roda tiga kepada warga emas, Ramli Joned, 62, yang mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan baru-baru ini.

Selain motosikal roda tiga, keluarganya turut menerima bantuan lampin pakai buang, kit makanan serta bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 bagi meringankan beban keluarga.

Setakat ini, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sudah memasuki enam siri pelaksanaan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sebelum diteruskan ke Bemban, Kuala Linggi, Lendu, Merlimau dan terbaharu di Pantai Kundor.

Setiap siri memberi fokus kepada isu berbeza mengikut keperluan penduduk setempat, selain memastikan keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan segera.

Di Lendu sahaja, sebanyak 223 daripada 282 aduan yang diterima menerusi WRUR berjaya diselesaikan, manakala baki 59 lagi masih dalam tindakan oleh agensi yang berkaitan.

Pencapaian itu menunjukkan, keberkesanan pemantauan berterusan terhadap setiap aduan yang dikemukakan rakyat.

Sementara di Bemban, perhatian diberikan kepada isu banjir khususnya di Kampung Lubok Kasau, selain bantuan khas kepada golongan penjaja, usahawan kecil, pelajar, rumah ibadat dan keluarga yang memerlukan baik pulih rumah.

Sepanjang enam siri jelajah terbabit, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM900,000 bagi memenuhi pelbagai keperluan rakyat.

Bantuan yang disalurkan merangkumi baik pulih rumah, bantuan pendidikan, peralatan perniagaan, kerusi roda, peralatan mobiliti, rumah ibadat serta kemudahan untuk aktiviti kemasyarakatan.

Di Merlimau, komuniti nelayan turut menerima tiga inisiatif utama yang diumumkan kerajaan negeri, antaranya ialah bantuan RM200 bagi pembelian peralatan menangkap ikan, tajaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta sumbangan alat pengesan ikan atau `fish finder'.

Inisiatif itu disifatkan mampu membantu nelayan mengurangkan kos operasi selain meningkatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Maklum balas sepanjang program menunjukkan rakyat menghargai peluang bertemu secara langsung dengan Ketua Menteri untuk menyampaikan sendiri masalah yang dihadapi.

Pendekatan itu sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat bahawa setiap aduan yang dikemukakan akan dipantau sehingga penyelesaian dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui tidak semua isu dapat diselesaikan serta-merta kerana ada yang membabitkan peruntukan besar, kajian teknikal, pemilikan tanah dan penyelarasan antara pelbagai agensi.

Justeru, setiap aduan akan terus dipantau melalui mekanisme susulan bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.

Selepas enam siri pelaksanaannya, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dilihat berjaya membentuk pendekatan pentadbiran yang lebih dekat dengan rakyat dengan menekankan kehadiran, pendengaran dan tindakan, sekali gus memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Video Terkini

Berita Berkaitan