BH Online
Ringkasan Berita

Tourism Malaysia perkasa pelancongan gastronomi tingkat kehadiran pelancong luar

PUTRAJAYA: Tourism Malaysia mempergiat promosi pelancongan gastronomi sebagai antara tarikan utama untuk meningkatkan kedatangan pelancong asing dengan mengetengahkan makanan warisan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada dunia.
Tourism Malaysia perkasa pelancongan gastronomi tingkat kehadiran pelancong luar

Yasmin (kiri) menyampaikan sijil rakan strategik Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Irama Dinding Group, Arshad Kamarulzaman

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Tourism Malaysia mempergiat promosi pelancongan gastronomi sebagai antara tarikan utama untuk meningkatkan kedatangan pelancong asing dengan mengetengahkan makanan warisan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada dunia.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Yasmin Faezah Samsudin, berkata seramai 55 peserta antarabangsa dari 12 negara dibawa khas ke Malaysia bagi merasai sendiri pengalaman budaya tempatan, termasuk menghadiri Citrawarna sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta menikmati hidangan warisan Melayu.

Katanya, peserta terdiri daripada pempengaruh utama (KOL), ejen pelancongan dan wakil media yang dipilih menerusi pejabat Tourism Malaysia di luar negara.

"Program ini memberi peluang kepada peserta antarabangsa merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia, khususnya makanan warisan yang menjadi identiti negara.

"Gastronomi kini menjadi antara faktor utama yang mendorong pelancong memilih destinasi percutian. Kita berharap lebih banyak restoran yang mengetengahkan makanan warisan dapat menjadi medium memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia," katanya kepada media pada program Warisan Hidangan Citrawarna Bersama Irama Signature di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Antara negara yang menyertai program itu ialah Jepun, Korea Selatan, Indonesia (Jakarta dan Bandung), Thailand, Filipina, China, India, Sri Lanka dan Australia.

Selain memperkenalkan makanan warisan, peserta turut dibawa menikmati pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan mengunjungi DSR Orchard di Raub sempena musim durian.

Yasmin berkata, pengalaman menikmati durian buat kali pertama memberikan nilai tambah kepada peserta, terutama dari negara yang tidak biasa dengan buah berkenaan.

"Maklum balas yang diterima berbeza-beza. Ada yang terus menyukainya, manakala ada yang kurang dapat menerimanya. Bagi mereka yang tidak dapat menikmati durian segar, kami memperkenalkan produk berasaskan durian seperti aiskrim, piza dan seri kaya durian.

"Pengalaman seperti ini diharap dapat dikongsikan oleh peserta apabila pulang ke negara masing-masing sekali gus menjadi promosi terbaik untuk Malaysia," katanya.

Sementara itu, pempengaruh media sosial dari Melbourne, Australia, Amy Laurent Payne, 35,

menyifatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik kerana menggabungkan kepelbagaian budaya, makanan dan tarikan bandar yang unik sehingga mendorongnya untuk kembali bersama keluarganya pada masa depan.

Beliau yang pertama kali mengunjungi Malaysia berkata, pengalaman sepanjang berada di negara ini amat menyeronokkan, malah Kuala Lumpur mengingatkannya kepada gabungan suasana Hong Kong dan Jakarta yang meriah.

"Saya mempunyai dua orang anak kecil di Australia dan berharap dapat membawa mereka ke Kuala Lumpur serta Pulau Pinang pada kunjungan akan datang.

"Sebelum ini saya banyak memperoleh maklumat mengenai Malaysia melalui media sosial, terutama mengenai pantai dan pulau-pulau yang menjadi tarikan kepada pelancong Australia.

Malaysia juga tidak terlalu jauh dari Australia, kira-kira lapan setengah jam penerbangan dari Melbourne, menjadikannya destinasi yang mudah dikunjungi," katanya.

Amy turut memuji kepelbagaian makanan Malaysia yang disifatkannya kaya dengan cita rasa dan berbeza daripada hidangan di negaranya.

"Saya memang gemarkan makanan pedas. Makanan di Malaysia sangat sedap dan mempunyai cita rasa yang unik.

"Saya juga berpeluang mencuba durian buat kali pertama. Saya tidak boleh kata terus jatuh cinta dengan durian, tetapi ia tidaklah seteruk yang saya sangkakan. Saya juga sangat menggemari laksa."

"Saya pasti akan mengesyorkan Malaysia kepada keluarga, rakan-rakan dan pengikut saya di media sosial. Ramai dalam komuniti Instagram saya teruja mengikuti perjalanan saya di sini kerana Malaysia menawarkan pengalaman yang berbeza daripada destinasi percutian biasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan