BH Online
Ringkasan Berita

Berani melapor perlu dilindungi, bukan sekadar dapat merit

Cadangan sistem merit diberikan kepada murid yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah wajar diperhalusi secara serius. Syor diketengahkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu boleh menjadi langkah penting memecahkan budaya berdiam diri yang sering menyebabkan salah laku di sekolah hanya terbongkar selepas menjadi parah.
Berani melapor perlu dilindungi, bukan sekadar dapat merit

Foto hiasan.

Cadangan sistem merit diberikan kepada murid yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah wajar diperhalusi secara serius. Syor diketengahkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu boleh menjadi langkah penting memecahkan budaya berdiam diri yang sering menyebabkan salah laku di sekolah hanya terbongkar selepas menjadi parah.

Hakikatnya, banyak kejadian buli dan keganasan tidak berlaku dalam keadaan vakum. Rakan sebaya mungkin menyedari perubahan tingkah laku mangsa atau tingkah laku mencurigakan dan mendengar ugutan, malah menyaksikan kejadian berkenaan, tetapi memilih berdiam diri kerana takut dipulaukan, dibalas dendam atau dilabel dengan pelbagai gelaran. Justeru, usaha memupuk budaya berani melapor memang diperlukan dengan meyakinkan murid bahawa menyampaikan maklumat mengenai ancaman keselamatan bukan perbuatan mengkhianati rakan, sebaliknya tanggungjawab moral untuk melindungi mangsa, warga sekolah dan pelaku sendiri daripada melakukan kesalahan lebih berat.

bhbuli25
Foto hiasan.

Namun, keberanian tidak boleh dibina melalui mata merit semata-mata. Ganjaran mungkin menjadi pencetus awal, tetapi tanpa jaminan kerahsiaan, perlindungan dan tindakan susulan berkesan, murid akan terus menganggap risiko melapor jauh lebih besar daripada manfaat diterima. Sekolah perlu menyediakan saluran aduan selamat, sulit dan mudah dicapai, sama ada melalui guru dipercayai, kaunselor, peti aduan terkawal atau sistem digital. Identiti pelapor tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, manakala setiap maklumat mesti dinilai secara profesional supaya pelajar tidak menjadi sasaran ugutan, ejekan atau tindakan balas.

Pada masa sama, sistem merit perlu mempunyai garis panduan jelas bagi mengelak fitnah, tuduhan palsu atau perbuatan melapor semata-mata untuk memperoleh ganjaran. Maklumat diterima mesti disahkan melalui siasatan adil, berhemah dan tidak menghukum sebelum fakta dikenal pasti, terutama apabila membabitkan kanak-kanak serta remaja yang masih berkembang dari segi emosi.

Pihak sekolah juga tidak boleh sekadar mengumpulkan aduan tanpa bertindak. Kegagalan memberikan maklum balas atau kecenderungan menutup kes demi menjaga imej sekolah hanya akan memusnahkan keyakinan murid, malah menghantar isyarat bahawa keberanian mereka tidak dihargai dan pelaku boleh terus bertindak tanpa akibat. Di sinilah peranan guru disiplin, kaunselor, pentadbir sekolah, pegawai perhubungan sekolah dan ibu bapa perlu diselaraskan.

Setiap laporan perlu mempunyai kesinambungan dengan tindakan pencegahan, penilaian risiko, bantuan psikososial kepada mangsa serta intervensi terhadap pelaku, bukan semata-mata proses menentukan hukuman. Lebih penting, budaya melapor perlu disokong pendidikan menekankan empati, tanggungjawab bersama dan keberanian mempertahankan perkara benar. Pelajar mesti diajar membezakan antara mengadu kerana dendam dengan melapor untuk mencegah kemudaratan, manakala guru pula perlu peka terhadap isyarat tidak langsung daripada murid yang takut bersuara secara terbuka.

Cadangan sistem merit itu mempunyai asas baik, tetapi kejayaannya bergantung kepada kepercayaan terhadap institusi sekolah. Jangan sampai murid diberikan mata kerana berani melapor, tetapi selepas itu dibiarkan bersendirian menghadapi tekanan, ancaman atau pemulauan daripada rakan sebaya.

Video Terkini

Berita Berkaitan