SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan 'reben' yang dipotongnya sepanjang dua penggal menerajui pentadbiran negeri ini menawarkan peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan.
Tenang menjawab kritikan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau berkata, majlis perasmian dihadirinya membabitkan pembukaan kawasan perindustrian yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, bukan sekadar merasmikan pembukaan balai raya.
"Semalam Tok Mat (Mohamad Hasan) kata saya hanya potong reben selama dua penggal. Terpulanglah kepada Tok Mat.
"Reben yang saya potong mahal-mahal, pembukaan kawasan perindustrian dan kawasan kilang industri yang memberi peluang pekerjaan", katanya di sini, hari ini.
Aminuddin pada masa sama mengakui Mohamad sebagai pemimpin hebat, namun menegaskan isu 'potong reben' tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen kerana banyak perkara lain lebih memberi manfaat kepada rakyat untuk dibawa sepanjang pilihan raya.
Beliau berkata, pembangunan yang dinikmati negeri dan negara hari ini adalah hasil usaha dibangunkan secara berperingkat oleh pemimpin terdahulu dan setiap pemimpin mempunyai sumbangan serta pengorbanannya.
"Saya ucap terima kasih. Memang ada asas yang dibuat. Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Isa Samad juga melakukan pengorbanan, begitu juga Tok Mat. Saya hanya meneruskan perjuangan dan legasi yang dibina," katanya.
Aminuddin berkata, kesinambungan pembangunan berlaku menerusi sumbangan pemimpin yang berbeza, selain kaedah tidak sama, namun objektif akhirnya adalah untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri.
Beliau tidak berkecil hati sekiranya jasa dan sumbangan yang dicurahkan tidak diingati rakyat, sebaliknya menyerahkan segala amal dan amanah yang dilaksanakan untuk dinilai sebaiknya.
























