BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Pusingan pertama kempen berakhir, saingan dijangka sengit pada minggu kedua

SEREMBAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menamatkan minggu pertama hari ini, menyaksikan parti-parti politik yang bertanding masih belum memasuki gear lima perlumbaan.
PRN NS: Pusingan pertama kempen berakhir, saingan dijangka sengit pada minggu kedua

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memasuki penghujung minggu pertama hari ini menyaksikan parti-parti politik yang bertanding masih meneruskan kempen secara sederhana. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menamatkan minggu pertama hari ini, menyaksikan parti-parti politik yang bertanding masih belum memasuki gear lima perlumbaan.

Perang bendera juga memperlihatkan momentum sederhana dan masih belum meriah, dengan kebanyakannya tertumpu di beberapa kawasan tumpuan terpilih seperti dewan, balai raya, jalan raya utama, jalan kampung, jejantas dan jambatan.

Seperti kebanyakan pilihan raya sebelum ini, selain menggunakan pendekatan ceramah kelompok sebagai strategi, banyak calon turut mengoptimumkan penggunaan pelbagai platform media sosial sebagai jaringan komunikasi untuk meraih undi pengundi.

Minggu pertama kempen juga dihiasi dengan acara lazim iaitu kempen dari rumah ke rumah, solat berjemaah serta tinjauan mesra di kawasan masing-masing, bagi mendekati pengundi.

Dalam tempoh berkenaan juga, setakat ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dua kali hadir ke Negeri Sembilan.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI_d44b5c1d8e0b4f26963e06910563f0a4
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir pada Program ramah mesra bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Orang Asli Tohor. - Foto BERNAMA

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebanyak tiga kali bagi memberi sokongan kepada calon parti masing-masing.

Memasuki minggu kedua kempen esok, saingan dijangka semakin rancak apabila parti-parti bertanding mula mengatur gerak kerja yang lebih agresif, selain menyaksikan kehadiran lebih ramai pemimpin tertinggi parti bagi membantu calon masing-masing.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata strategi kempen beliau sepanjang minggu pertama, lebih mengutamakan pendekatan bersemuka secara terus bagi mendengar keperluan penduduk setempat secara lebih dekat.

Beliau berkata gerak kerja kempen, akan dilipat gandakan menjelang minggu kedua serta menegaskan masih terlalu awal untuk membuat ramalan jumlah kerusi yang bakal dimenangi PH pada PRN kali ini.

KEMPEN PAKATAN HARAPAN DUN TEMIANG
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tengah) bergambar bersama orang ramai ketika membantu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Temiang (tiga, kiri) berkempen di Temiang. - Foto BERNAMA

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perjalanan kempen gabungan itu, menumpukan kepada pengukuhan gerak kerja di semua kawasan DUN yang ditandingi mereka.

"Saya berharap momentum ini dapat diteruskan dan dipertingkat, selain calon serta jentera perlu terus turun padang menyantuni seramai mungkin pengundi, bagi memastikan BN memperoleh keputusan cemerlang pada PRN kali ini," kata penyandang DUN Rantau itu merangkap Menteri Luar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang dalam misi mempertahankan di DUN Pertang pula berkata momentum kempen BN pada PRN, berjalan dengan baik setakat ini dengan semua calon BN di bawah Parlimen Jelebu, meningkatkan gerak kerja kempen dalam usaha menyantuni sebahagian besar pengundi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban 3, Mujibu Abd Muis berkata selepas seminggu berkempen, hala tuju PRN Negeri Sembilan semakin jelas, namun keputusan pilihan raya masih belum boleh dianggap muktamad.

"Pada saya, pertandingan ketika ini lebih tertumpu antara BN dan PH, manakala Perikatan Nasional (PN) masih berusaha mencari momentum. Pendekatan kempen juga semakin bersifat bersasar, khususnya PH lebih banyak menggunakan 'micro campaign'," katanya.

PERANG BENDERA PRN NEGERI SEMBILAN
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memasuki penghujung minggu pertama hari ini menyaksikan parti-parti politik yang bertanding masih meneruskan kempen secara sederhana. - Foto BERNAMA

Beliau berkata strategi sedemikian mencerminkan perubahan tingkah laku pengundi, yang kini lebih cenderung menilai calon berdasarkan kehadiran dan kemampuan mereka menyantuni rakyat berbanding hanya mendengar ceramah politik.

Mujibu berkata minggu terakhir kempen lazimnya menjadi tempoh paling kritikal, iaitu fasa penentu apabila pengundi atas pagar dan mereka yang masih belum membuat keputusan mula akan menentukan pilihan masing-masing.

PRN kali ini menyaksikan sebanyak 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan PH mendominasi saingan apabila menampilkan 36 calon, diikuti BN (25 calon), Bersatu (24 calon) dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.

PRN turut dimeriahkan dengan penyertaan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang masing-masing mempertaruhkan seorang wakil, selain empat calon Bebas.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi.

Video Terkini

Berita Berkaitan