JELEBU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak perlu mengumumkan 'poster boy' atau calon Menteri Besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata terlalu ramai calon Menteri Besar daripada BN dan satunya daripadanya adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, Jalaluddin adalah calon nombor satu Menteri Besar Negeri Sembilan, namun ia bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Insya-Allah, kalau dulu menteri-menteri besar kita berprestasi tinggi. Saya yakin walaupun tidak disebutkan siapa 'poster boy' kita, siapa calon menteri besar kita, tak perlu... kita terlalu ramai calon-calon menteri besar, terlalu ramai.
"Salah seorangnya ada di sini. Kita tak ada seorang ya, Jalal. Datuk Asyraf (Wajdi Dusuki) kata ada 10 (calon Menteri Besar Negeri Sembilan), 10 (itu) ada kualiti bagus, betul?
"Tapi Jalallah nombor satu, tertakluk kepada perkenan," katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Jalaluddin dan calon BN DUN Chennah, Siow Kong Choon.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan, pengundi di Negeri Sembilan mahukan perubahan.
"Saya tidak mahu mendahului hukum Allah... tidak. Tetapi saya juga bukan nujum Pak Belalang dalam bidang politik.
"Namun saya yakin perasaan pengundi di Negeri Sembilan, mereka mahu perubahan dan perubahan itu mesti menjurus ke arah 'membirukan' Negeri Sembilan dengan kemenangan calon BN," katanya.
























