REMBAU: Pengundi diminta menghindari fitnah yang disebarkan menerusi media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelbagai dakwaan disebar termasuk usaha menakutkan masyarakat bukan Melayu dengan mendakwa UMNO akan bergabung dengan PAS.
"Sekarang ini banyak fitnah, macam-macam orang cakap. Pedulikanlah kerana kita tak boleh nak kawal, kita tak boleh pun nak menafikan semua fitnah di media sosial ini.
"Banyak cerita nak menakut-nakutkan orang bukan Melayu bahawa UMNO akan bergabung dengan PAS, maka negara ini akan menjadi negara Taliban," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kendong di sini, hari ini.
Turut hadir, calon BN bagi DUN Kota, Suhaimi Aini.
Mohamad berkata, BN tidak mempunyai rancangan untuk bergabung dengan PAS, sebaliknya persefahaman yang dijalinkan hanya bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, persefahaman itu dibuat susulan kekalahan BN di beberapa kerusi majoriti Melayu pada pilihan raya lalu akibat pertembungan sesama parti Melayu.
"Kita kalah Negeri Sembilan sebab kita tewas di kerusi majoriti orang Melayu kerana parti Melayu bercanggah dan berlawan sesama sendiri.
"Kita bukannya nak kata bergabung. Biar kita melangkah selangkah dulu, kita tengok macam mana hasilnya, kalau baik hasilnya kita buat pula di Melaka," katanya.
























