BH Online
Ringkasan Berita

Jamaludin Sairi dilantik Panglima Wilayah Laut 2

SANDAKAN: Bekas Komander Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Laksamana Muda Jamaludin Sairi dilantik sebagai Panglima Wilayah Laut 2, berkuatkuasa hari ini.
Jamaludin Sairi dilantik Panglima Wilayah Laut 2

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Panglima Wilayah Laut 2 oleh Laksamana Muda Ivan Mario Andrew (kiri) kepada Laksamana Muda Jamaludin Sairi di Sandakan hari ini. - Foto NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Bekas Komander Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Laksamana Muda Jamaludin Sairi dilantik sebagai Panglima Wilayah Laut 2, berkuatkuasa hari ini.

Jamaludin menggantikan Laksamana Muda Ivan Mario Andrew yang bakal bersara pada 7 Ogos ini.

Majlis serah terima tugas diadakan di sini, hari ini dengan disaksikan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris di Dewan Azim, Kompleks Perumahan TLDM.

Selain itu, majlis turut menyaksikan acara menandatangani dokumen serah terima tugas, acara penurunan dan pemakaian lencana pemerintah dan penyerahan simbolik pemerintahan.

Jamaludin yang ditemui berkata, fokus utamanya adalah untuk memperkukuhkan aspek pengurusan dan operasi markas, khususnya dalam memastikan semua aset TLDM di Sabah berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) terus berupaya melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan di pantai timur Sabah.

"Fokus saya adalah untuk memantapkan lagi pengurusan dalam semua aspek, terutama aspek operasian aset-aset kita di kawasan timur Sabah.

"Keutamaan juga akan diberikan terhadap usaha memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain bagi memastikan pengawasan dan penguatkuasaan di perairan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Jamaludin ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada 1 September 1987 dan sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Tombak, KD Selangor, Ketua Staf Markas Wilayah Laut 1, Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Pegawai Memerintah KD Pelandok dan Timbalan Panglima Wilayah Laut 2.

Sementara itu, Ivan berkata, beliau percaya kepemimpinan baharu dapat meneruskan kecemerlangan markas dalam mempertahankan kedaulatan perairan khususnya di pantai timur negeri ini berdasarkan pengalaman yang ada.

Beliau juga memberi jaminan kepada pelancong yang datang ke negeri ini bahawa keselamatan di perairan timur Sabah sentiasa terjamin dengan kehadiran berterusan aset TLDM.

Video Terkini

Berita Berkaitan