SERDANG: Dua anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Rusty dan Sam, digerakkan ke Pasar Borong Selangor hari ini bagi membantu siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Rusty dan Sam tiba dengan kenderaan khas kira-kira jam 3.30 petang tadi dan dilihat memakai but keselamatan bagi melindungi tapak kaki ketika meredah kawasan berkenaan.
Kedua-dua anjing terlatih daripada baka Cocker Spaniel dan Springer Spaniel itu kemudian memulakan pencarian di celah runtuhan serta sisa kebakaran bagi membantu mengenal pasti punca kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata sebuah jengkaut terlebih dulu tiba kira-kira jam 12 tengah hari bagi mengalihkan runtuhan dan sisa kebakaran.
Beliau berkata, kerja mengalihkan sisa kebakaran berkenaan perlu diselesaikan bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum pasukan forensik memulakan siasatan.
"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan," katanya.
Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi selepas operasi sepanjang malam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, setakat ini.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam tadi memaklumkan kejadian itu sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi.
Operasi pemadaman membabitkan 68 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dengan bantuan BBP Bukit Jalil, BBP Presint 7, BBP Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), BBP Petaling Jaya, BBP Bangi, BBP KLIA, BBP Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Hartamas, BBP Cyberjaya, BBP Bukit Jelutong, BBP Subang Jaya dan BBP Damansara.
Operasi itu turut menggunakan lima Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua Aerial Ladder Platform (ALP), sebuah Bronto Aerial Tower Vehicle (BATV), tiga unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta tujuh lori tangki air.
Turut digunakan tiga unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta tujuh lori tangki air.
Operasi itu dibantu 67 anggota daripada 11 pasukan bomba sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.
Kebakaran membabitkan Blok B4 pasar borong itu yang menempatkan tiga premis iaitu sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, sebuah kedai menjual telur serta sebuah kedai perkakasan.
























