SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan khusus kepada kempen berteraskan isu hiperlokal sepanjang fasa pergerakan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata strategi berkenaan dilihat berkesan apabila setiap calon bergerak secara tertumpu mengikut keperluan setempat, sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.
Katanya, kempen dari rumah ke rumah membolehkan calon memahami denyut nadi pengundi berasaskan isu khusus di kawasan ditandingi.
"Cara kempen di sini berbeza berbanding di Johor baru-baru ini kerana ia banyak memberikan tumpuan kepada isu-isu hiperlokal dan pergerakan calon dari rumah ke rumah.
"Jika di luar bandar, tumpuan diberi kepada isu luar bandar dan di kawasan bandar, ia tertumpu kepada isu setempat di kawasan ditanding," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Townhall Kepenggunaan 'Pengguna: Bergunakah Kita?' di sini, hari ini.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, maklum balas dari lapangan menunjukkan sambutan pengundi amat menggalakkan, selain populariti Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kekal tinggi.
"Prestasi pentadbiran Aminuddin dan PH di Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun lalu berada pada tahap yang amat baik.
"Insya-Allah, rakyat sedar dan menikmati sendiri manfaat daripada pelbagai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan PH di bawah pimpinan Aminuddin," katanya.
























