BH Online
Ringkasan Berita

Timbalan EXCO Johor tidak wujudkan kuasa eksekutif baharu - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu seperti didakwa sesetengah pihak.
Timbalan EXCO Johor tidak wujudkan kuasa eksekutif baharu  - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Timbalan EXCO Negeri Johor pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, kelmarin. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri dan perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan prinsip pentadbiran, keperluan semasa serta kedudukan undang-undang.

Beliau berkata, Timbalan EXCO yang dilantik bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO.

"Mereka tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.

"Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian bagi menjawab kritikan dan serangan politik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan 10 Timbalan EXCO Johor yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, pelantikan itu tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri serta tidak menjejaskan mandat yang diberikan rakyat melalui pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, ia adalah mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

"Lantikan ini bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan.

"Ia diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan," katanya.

Beliau berkata, Johor kini sedang melaksanakan pelbagai agenda strategik termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link serta beberapa projek berimpak tinggi menjelang 2030.

Sehubungan itu, katanya, kapasiti pentadbiran negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor.

Mengulas kebimbangan mengenai implikasi kewangan, Onn Hafiz berkata pelantikan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya membabitkan kos minimum.

Katanya, kerajaan negeri turut menggunakan aset serta kemudahan sedia ada tanpa mewujudkan portfolio baharu atau menambah struktur pentadbiran yang boleh membebankan kewangan negeri.

"Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab.

"Setiap keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan