BH Online
Ringkasan Berita

Perlis perkukuh kerjasama rentas dengan wilayah sempadan Selatan Thailand

KUALA LUMPUR: Perlis sedia meneroka peluang kerjasama baharu dengan wilayah sempadan Selatan Thailand (SBPAC), selain memperkukuh kolaborasi sedia ada dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan warisan Melayu-Islam.
Perlis perkukuh kerjasama rentas dengan wilayah sempadan Selatan Thailand

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Tengah) ketika menerima menghadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran SBPAC, Piyasiri Wattanavarangkul (kanan) di Istana Arau di Perlis hari ini. Berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.- Foto ihsan YTSP

KUALA LUMPUR: Perlis sedia meneroka peluang kerjasama baharu dengan wilayah sempadan Selatan Thailand (SBPAC), selain memperkukuh kolaborasi sedia ada dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan warisan Melayu-Islam.

Perkara itu dizahirkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika menerima menghadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran SBPAC, Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau di Perlis hari ini.

Berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menurut kenyataan dikongsi hari ini, majlis mengadap menjadi platform penting bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand yang terjalin sekian lama berteraskan sejarah, budaya, agama serta ikatan kekeluargaan yang merentasi sempadan.

Hubungan terbina sejak berabad lamanya itu terus menjadi asas kukuh dalam mempererat persahabatan serta memperluaskan kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand.

Raja Muda Perlis bertitah perbincangan hari ini berkisar hubungan erat yang lama terjalin antara masyarakat di kedua-dua belah sempadan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan kerjasama rentas sempadan secara lebih menyeluruh

Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperkukuhkan warisan Melayu-Islam yang menjadi identiti bersama masyarakat di Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand.

"Pemeliharaan bahasa Melayu, bacaan dan tulisan Jawi, budaya, adat resam serta tradisi Islam terus dilihat sebagai elemen penting dalam memelihara jalinan persaudaraan, di samping menghormati kepelbagaian masyarakat.

"Pertukaran budaya dan warisan turut diiktiraf sebagai medium berkesan untuk mengeratkan hubungan rakyat serta memupuk persefahaman yang lebih utuh, khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Selaras hasrat itu, perbincangan turut meneliti potensi kerjasama dalam pemerkasaan dan pengembangan bahasa Melayu, pengukuhan jaringan pengajian Islam melalui institusi pengajian tinggi di Perlis, penganjuran festival kebudayaan, serta usaha memelihara dan mempromosikan seni warisan tradisional sebagai khazanah bersama," titah baginda.

Titah Raja Muda Perlis lagi, dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar dan guru, kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peluang penawaran biasiswa bagi membolehkan pelajar dari wilayah selatan Thailand melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Kerjasama dalam hal ehwal agama turut menjadi agenda penting, meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran masjid, pengajian al-Quran serta pembangunan industri halal yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah di kawasan sempadan.

"Dalam sektor pelancongan, perbincangan menjurus kepada usaha memperkukuhkan promosi pelancongan rentas sempadan melalui pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat.

"Di samping itu, pembangunan ekopelancongan serta promosi gastronomi dan makanan tempatan dikenal pasti sebagai antara bidang yang berpotensi merancakkan industri pelancongan serantau," titah baginda.

Selain itu, penglibatan golongan belia turut diberi penekanan sebagai pemangkin hubungan jangka panjang antara komuniti di kedua-dua wilayah.

Antara cadangan dibincangkan termasuk pelaksanaan program pembangunan kepimpinan belia, pertukaran dan kerjasama sukan, pembangunan keusahawanan belia serta aktiviti kesukarelawanan yang mampu memupuk semangat persefahaman, persaudaraan dan kerjasama rentas sempadan.

Perbincangan turut merangkumi aspek kemanusiaan melalui cadangan memperkukuhkan kerjasama dalam pelaksanaan program bantuan dan pengurusan bencana, di samping memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.

Secara keseluruhannya, perbincangan dua hala ini mencerminkan iltizam bersama negeri Perlis dan SBPAC untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan, memperluaskan jaringan kerjasama rentas sempadan serta mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan, kebudayaan, agama, pelancongan, belia dan kemanusiaan demi kemakmuran serta kesejahteraan bersama rakyat Malaysia dan Thailand.

Video Terkini

Berita Berkaitan