BH Online
Ringkasan Berita

Sindiket guna lori sampah edar arak tak bercukai RM1.07 juta

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM1.07 juta yang diedarkan menggunakan lori sampah dalam dua serbuan di sekitar Kajang, dekat sini, Selasa lalu.
Sindiket guna lori sampah edar arak tak bercukai RM1.07 juta

Lori sampah yang digunakan bagi mengedar minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM1.07 juta yang ditahan Selasa lalu. Foto ihsan polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM1.07 juta yang diedarkan menggunakan lori sampah dalam dua serbuan di sekitar Kajang, dekat sini, Selasa lalu.

Operasi hasil risikan Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman itu dijalankan di dua lokasi dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran minuman keras berkenaan bermula jam 4.30 petang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dua lelaki tempatan berusia 42 dan 62 tahun ditahan dalam operasi itu.

"Polis merampas 1,361 kotak minuman keras pelbagai jenama yang mengandungi 32,664 tin, selain sebuah lori Isuzu satu tan, sebuah Toyota Altis dan tiga telefon bimbit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk dua kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM1,070,164.58.

Katanya, siasatan mendapati sindiket menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama bagi menghantar minuman keras tidak bercukai kepada pelanggan.

"Ini kali pertama pihak berkuasa mengesan modus operandi menggunakan lori sampah bagi mengaburi kegiatan pengedaran minuman keras tidak bercukai.

"Taktik ini menunjukkan sindiket sentiasa mencari kaedah baharu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tidak bercukai.

Katanya, PGA merekodkan 82 kes rampasan minuman keras tidak bercukai bernilai RM14.52 juta di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Katanya, seramai 87 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dalam tempoh sama.

"Orang ramai digalak menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan minuman keras tidak bercukai," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan