SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil serta Solat Jumaat Sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda di masjid berkenaan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad serta Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Miszairi Sitiris.
Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Miszairi dengan disertai kira-kira 1,100 pegawai serta anggota pasukan keselamatan dan badan beruniform yang bertugas di Selangor.
Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk "Hakikat Kepahlawanan Islam" yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Datuk Muhammad Farhan Wijaya.
Khutbah berkenaan mengajak umat Islam menghayati erti kepahlawanan sebenar dengan mempertahankan akidah, menegakkan kebenaran dan mencontohi perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat serta ulama.
Umat Islam turut diingatkan supaya mempertahankan akidah daripada ancaman fahaman seperti sekularisme, liberalisme dan pluralisme, di samping mendidik generasi muda dengan ilmu agama yang sahih, semangat cintakan Allah dan Rasul-Nya, menghormati ulama serta mentaati pemimpin.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati jasa anggota pasukan keselamatan yang telah berbakti mempertahankan negara.
– BERNAMA
























