SEREMBAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar dijadikan 'kambing hitam' atas beberapa isu yang timbul termasuk kegagalan pihak berkaitan menunaikan janji.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mempersoalkan tindakan pihak tertentu menyalahkan UMNO dan BN atas kegagalan melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
"Saya nampak setiap kali naik pentas, mereka salahkan BN, salahkan UMNO. Janji tidak ditunaikan pun salah UMNO, itu bukan pendirian yang boleh kita terima.
"Apabila tak dapat tunaikan dan bila orang marah dulu janji macam-macam, hari ini menang esok akan jadi macam-macam.
"Dia kata tak dapat tunaikan janji itu sebab ada UMNO dan BN dalam kerajaan. Adakah itu cara menghargai kawan?
"Tak mengapalah, kalau nak salah UMNO dan BN, kita buktikan di Negeri Sembilan," katanya berucap pada program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Lenggeng, hari ini.
Khairy berkata, BN memilih bersikap profesional dengan meneruskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, pendekatan itu penting berikutan ketika ini negara masih berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.
Katanya, walaupun BN mengambil pendekatan berbeza di beberapa negeri termasuk menjalin persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan, ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menggugat kerajaan di Putrajaya.
"Keanjalan politik hari ini menuntut kita melakukan pendekatan sedikit berbeza di peringkat negeri.
"Saya menghormati kematangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh terima pada peringkat Pusat, teruskan kerjasama demi kestabilan negara.
"Kita tinggal setahun saja lagi penggal, sudah tak lama. Jadi tak perlu kita tarik sokongan atau paksa adakan pilihan raya umum (PRU) awal, kita kena matang dalam hal ini.
"Bagaimanapun, rakyat boleh nampak di Negeri Sembilan kita memberikan isyarat dan bayangan awal perubahan yang boleh berlaku pada PRU akan datang," katanya.
























