BH Online
Ringkasan Berita

Lebih 8 juta rokok diikrar 'kanvas plastik' bernilai lebih RM9.14 juta dirampas

BUTTERWORTH: Cubaan mengelirukan anggota penguat kuasa dengan mengikrar kontena dibawa sebagai kanvas plastik tidak berhasil apabila pemeriksaan rapi menemukan 815 kotak besar mengandungi 8.15 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM9.14 juta termasuk cukai.
Lebih 8 juta rokok diikrar 'kanvas plastik' bernilai lebih RM9.14 juta dirampas

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di Perai, Butterworth. - Foto Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Cubaan mengelirukan anggota penguat kuasa dengan mengikrar kontena dibawa sebagai kanvas plastik tidak berhasil apabila pemeriksaan rapi menemukan 815 kotak besar mengandungi 8.15 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM9.14 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din, berkata Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri membuat serbuan jam 11.15 pagi di sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Jun lalu.

Katanya, berlaku kekeliruan dalam borang manifes yang diikrar yang mana ia adalah cubaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Modus operandi adalah membuat pengikraran tidak betul iaitu sebagai kanvas plastik tetapi sebenarnya bermuatan rokok.

"Semua rokok berkenaan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam negeri, di sini, hari ini.

Jelas Hasbollah, siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan di sekitar Subang Jaya, Selangor.

"Melalui dokumen yang diperolehi, dagangan disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Tenggara.

"Kita sudah memanggil pengurus syarikat perkapalan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Hasbollah berkata, pihaknya turut menahan seorang pemandu lori bersama kelindan masing-masing lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an di laluan susur keluar tol Bukit Tambun menghala Utara, jam 2.15 petang, 29 Mei lalu.

"Ini selepas pemeriksaan pasukan telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tak berkastam dalam muatan lori itu.

"Semua minuman keras sebanyak 5,904.48 liter bersama lori yang dianggarkan bernilai RM237,244.40 dirampas untuk tindakan lanjut," katanya yang memaklumkan minuman keras itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Video Terkini

Berita Berkaitan