PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengurangkan kos pembelian Kapal Misi Pesisir sebanyak 15 peratus menerusi rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.
Perdana Menteri menjelaskan, pendekatan secara kerajaan kepada kerajaan (G2G) itu dilaksanakan bagi menghapuskan kebergantungan terhadap ejen yang sebelum ini menyebabkan kos pembelian aset pertahanan negara meningkat.
Katanya, beliau sendiri menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi mencadangkan rundingan pembelian kapal itu dilakukan secara terus antara kedua-dua kerajaan.
"Saya telefon sahabat saya, Presiden Erdogan. Saya kata, kita nak beli kapal. Boleh tak kita runding terus antara dua kerajaan? Turunkan harga, tak payah komisen kepada ejen-ejen, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ini kerana kita tak mampu bayar terlalu banyak kepada ejen.
"Boleh tak kita runding? Minta kepakaran daripada Angkatan Tentera, pergi runding apa yang diperlukan, minta wakil Kementerian Kewangan lihat kos. Presiden Erdogan menyifatkan ia sebagai cadangan yang baik.
"Jadi pembelian kita sedaya upaya sekarang antara dua kerajaan, dengan kos lebih rendah, ejen yang ambil dana terlalu tinggi itu dihentikan," katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Pada masa sama, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana memberi sokongan kepada dasar baharu kerajaan itu.
"Kita beli secara telus, hentikan kerja ejen yang merugikan kita," katanya.
























