PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan tidak mendedahkan laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) selepas ia siap tiga tahun lalu bagi mengelak rakyat hilang keyakinan terhadap institusi itu.
Tegas Perdana Menteri, beliau tidak mahu pendeposit mengeluarkan wang mereka yang akan menyebabkan kerugian kepada TH.
Bagaimanapun, katanya, TH yang sebelum ini mencatat kerugian lebih RM10 bilion, kini berada di bawah pengurusan cemerlang diterajui pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
"Orang kritik saya, mengapa tidak terbitkan laporan itu? Saya kata, pada masa itu, tiga tahun lalu tak mampu kita terbitkan.
"Jika kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan pada TH, mereka tarik dana, TH sebagai badan akan lingkup.
"Bagaimanapun, sejak tiga tahun lalu, pengurusannya bertukar, pengerusinya sekarang Tan Sri Rashid mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang. TH sudah mula bertapak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman;Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.
Semalam, pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli, dilaporkan berkata laporan RCI itu sepatutnya didedahkan kepada umum seawal 2023 apabila ia mula-mula disiapkan.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, mendakwa tindakan melambat-lambatkan pendedahan laporan itu dipercayai berpunca daripada sikap berhati-hati Perdana Menteri yang mahu menjaga hati UMNO.
























