KUALA PILAH: Persefahaman Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak akan mengubah pendirian serta kedudukan parti itu sebagai gabungan politik yang sentiasa menyantuni dan membela pelbagai kaum di negara ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, BN akan tetap kekal sebagai gabungan yang sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
"Orang Cina, orang India tak payah takut dengan persefahaman ini sebab BN adalah parti berbilang kaum sejak penubuhannya. Kita dah biasa menguruskan negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama, maka BN akan kekal begitu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ibol di Seri Menanti, di sini. Turut hadir calon BN DUN Seri Menanti PRN Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi.
Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA berkata sejak pembentukan BN, parti komponennya seperti UMNO, MCA dan MIC berjaya membuktikan kepelbagaian kaum mampu diuruskan secara harmoni.
Katanya, gabungan itu juga kekal menghormati kepelbagaian agama dan budaya, termasuk memberi pengiktirafan kepada pelbagai perayaan utama setiap kaum.
"Tanah air kita ini milik semua. Milik orang Melayu, juga milik orang Cina dan orang India. Apa yang penting, semua pihak menghormati Perlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak kaum-kaum lain," katanya.
Asyraf Wajdi berkata, persefahaman BN dan PN turut menuntut kedua-dua parti mengetepikan perselisihan lampau demi membina kekuatan baharu yang lebih besar.
Katanya, pimpinan UMNO mengambil keputusan bekerjasama dengan PN selepas mendengar suara akar umbi yang mahukan penyatuan parti Melayu.
"Kalau kita nak ungkit apa yang PAS buat kepada kita, sampai esok pun tak habis. Kalau PAS nak ungkit apa yang UMNO buat kepada mereka pun tak habis. Itu cerita lama. Kita pandang ke depan kerana umat Islam mendambakan penyatuan dan kerjasama ini," katanya.
Demi persefahaman itu juga, Asyraf Wajdi berkata BN 'berkorban' dengan menyerahkan beberapa kerusi tradisi kepada PN demi memastikan peluang membentuk kerajaan lebih cerah.
Beliau berkata, PN tidak meletak sebarang syarat berkaitan jawatan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
Asyraf Wajdi turut membayangkan kerjasama BN dan PN di PRN Negeri Sembilan berpotensi menjadi pemangkin kepada kerjasama politik lebih besar pada masa depan.
"Nampak gaya Negeri Sembilan mungkin menjadi permulaan untuk satu gerakan yang lebih besar," katanya.
























