KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangka mengambil masa sehingga 14 hari bagi melengkapkan siasatan forensik kebakaran Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, dekat sini.
Kerja mengalihkan timbunan runtuhan menggunakan jengkaut sedang dijalankan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap sebelum lokasi diserahkan kepada pasukan forensik untuk siasatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata penggunaan jengkaut hanya dibenarkan selepas pasukan forensik membuat penilaian awal di lokasi kebakaran.
"Jengkaut digunakan bagi mengalihkan timbunan runtuhan untuk memastikan tiada mangsa berada di bawahnya, selain membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih menyeluruh.
"Selepas kerja itu selesai, lokasi akan diserahkan kepada pasukan forensik untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku malam tadi memusnahkan tiga premis di Pasar Borong Selangor sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi.
Kebakaran membabitkan lot kedai menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4 pasar borong berkenaan, serta setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ashrul berkata, kerja mengalihkan runtuhan dan pemeriksaan sisa kebakaran dijangka mengambil masa antara lima hingga lapan jam bergantung kepada keadaan di lokasi.
Beliau berkata, pasukan forensik JBPM sudah berada di lokasi bagi membuat penilaian awal sebelum menjalankan siasatan terperinci sebaik saja kerja mengalihkan runtuhan selesai.
"Laporan siasatan forensik dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum punca kebakaran dapat dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba turut meneruskan kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bara api atau titik panas yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, pemeriksaan awal turut menemukan tanda ruang di dalam premis berkenaan digunakan sebagai tempat tidur, namun pemilik memaklumkan semua pekerja sudah dikenal pasti dan berada dalam keadaan selamat.
























