BH Online
Ringkasan Berita

'Malaysia tentang kezaliman Zionis, bukan anti-Yahudi' – PM Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia teguh mempertahan pendirian menentang kezaliman Zionis Israel dannya bukan bersikap anti-Yahudi.
'Malaysia tentang kezaliman Zionis, bukan anti-Yahudi' – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia teguh mempertahan pendirian menentang kezaliman Zionis Israel dannya bukan bersikap anti-Yahudi.

Perdana Menteri berkata tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang membangkitkan sentimen seolah-olah Malaysia bersikap anti-Yahudi itu baru-baru ini, tersasar daripada hakikat sebenar.

"Kita sudah ambil keputusan, kita tidak akan berganjak kerana ia bukan masalah kita menghina Yahudi, tetapi kita menentang kekejaman, kezaliman dan penjajahan Israel.

"Itu yang kita kena jelaskan. Dia bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum (Yahudi). Kita bukan antikaum, kita anti negara yang zalim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Kelmarin, lapan Ahli Kongres AS dilapor menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Ahli Kongres itu mendesak Kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.

Susulan itu, Anwar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel dan hakikat Malaysia adalah negara merdeka serta berdaulat bukan perkara baharu, malah kedudukan itu terbina sejak puluhan tahun lalu.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan Malaysia sudah menegaskan secara rasmi kepada kerajaan AS berhubung dasar negara ini yang tidak pernah mengiktiraf negara Israel.

Katanya, Duta Besar Malaysia ke Washington, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sudah dipanggil oleh Jabatan Negara AS bagi menerangkan perkara itu dan memaklumkan bahawa dasar itu bukan baharu.

Video Terkini

Berita Berkaitan