GEORGETOWN: Seorang wanita warga Indonesia dan teman lelakinya warga Bangladesh direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelaki wanita itu yang berusia lima tahun.
Perintah reman terhadap wanita berusia 30 tahun dan teman lelakinya berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi sehingga 30 Julai ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang memaklumkan kepada polis mereka adalah suami isteri dibawa secara berasingan ke Mahkamah Majistret dengan tangan bergari.
Difahamkan, kejadian terbongkar selepas lelaki warga Bangladesh yang tidak bekerja itu mendapati kanak-kanak terbabit muntah di pangsapuri sewa mereka di Gelugor kira-kira jam 10 pagi semalam.
Dia kemudian membawa kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran ketika ibu mangsa sedang bekerja.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika di klinik sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), namun disahkan meninggal dunia.
Kakitangan hospital kemudian membuat laporan polis selepas menemui kesan lebam pada beberapa bahagian badan kanak-kanak itu.
Susulan laporan itu, polis menahan wanita yang bekerja sebagai pembantu restoran bersama teman lelakinya bagi membantu siasatan.
Kanak-kanak itu difahamkan anak kepada wanita warga Indonesia itu hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki Rohingya yang meninggal dunia tahun lalu.
Polis kini menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada kecederaan luaran yang ditemui mempunyai kaitan dengan punca kematian mangsa sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim, ketika dihubungi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu.
























