MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama dan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan wayang politik atau rekaan.
Tegas beliau, dakwaan atau persepsi dilemparkan sesetengah pihak terutama berkaitan hubungan kerjasama antara BN dan PN tidak berasas kerana kedua-dua parti itu memberikan komitmen penuh termasuk daripada segi tenaga dan kewangan sepanjang tempoh berkempen.
"Kerjasama dan persefahaman antara kedua gabungan bukannya wayang, kita habis duit.. orang PAS pergi berkempen belanja sendiri, guna tenaga sepenuhnya... jentera daripada UMNO pun sama," katanya selepas menyampaikan kuliah Duha, di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata nilai hubungan dan kesepakatan ditunjukkan jentera parti pada tahap terbaik.
"Siri ceramah berkelompok dan gabungan bersama mula dianjurkan di pelbagai peringkat, sekali gus membuktikan kesepakatan berjalan secara nyata.
”‹"Sangat baik, sangat baik dan sudah ada ceramah bersama, saya sendiri juga akan turun untuk menyampaikan ceramah minggu depan," katanya.
Mengulas perpisahan antara PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata perselisihan pandangan atau fasa hubungan 'kahwin cerai' yang pernah terjalin adalah perkara biasa dalam kancah politik kerana perbezaan pandangan hanya membabitkan perkara cabang dan bukannya soal dasar.
"Itu biasa... biasa berlaku khilaf. Dari segi dasar, tidak ada khilaf antara PAS dengan UMNO, PAS berasaskan Islam, UMNO berasaskan Melayu. Melayu dengan Islam ini tidak berpisah.
"Orang Siam, orang Cina masuk Islam, (orang kata) masuk Melayu. India masuk Islam, masuk Melayu. Melayu itu Islam. Kita berbeza dari segi pendekatan sahaja, bukannya dasar," katanya.
Mengulas hala tuju kebolehtahanan hubungan antara dua parti akan datang, Abdul Hadi berharap ia berterusan demi rakyat dan negara.
























