BH Online
Ringkasan Berita

PRNNS: 'Logo sendiri bukti BERSATU berpegang dengan prinsip' – Tun Faisal

SEREMBAN: BERSATU mungkin sudah dikenali, namun berkempen membawa logo parti itu tetap ada cabarannya bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
PRNNS: 'Logo sendiri bukti BERSATU berpegang dengan prinsip' – Tun Faisal

Calon BERSATU DUN Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, ketika program Bicara PRN Negeri Sembilan, di sini, hari ini. - Foto ASRIZAL ARIS

SEREMBAN: BERSATU mungkin sudah dikenali, namun berkempen membawa logo parti itu tetap ada cabarannya bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Bagi Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, tindakan BERSATU bertanding menggunakan logo sendiri memerlukan usaha berganda dalam memberi penjelasan kepada pengundi yang sebelum ini terbiasa dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau yakin langkah itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana BERSATU dapat mengekalkan prinsip parti sebagai platform inklusif yang mesra semua kaum dan golongan berpegangan sederhana.

"Memang kerjanya jadi 'double' (dua kali ganda). Pertama, saya kena memperkenalkan diri, keduanya menjelaskan BERSATU ini produk yang bagaimana dan menjawab persoalan berhubung isu gabungan.

"Namun, kelebihannya bila bertanding guna logo sendiri, kita boleh kekal dengan prinsip.

"BERSATU parti yang inklusif walaupun parti Melayu-Islam kerana kita mesra dengan bukan Melayu dan penerimaan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu serta orang Melayu bersikap sederhana adalah lebih baik," katanya ketika program Bicara PRN Negeri Sembilan, di sini.

Kerusi DUN Sikamat disandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH).

Dalam PRN kali ini, kerusi berkenaan menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Tun Faisal menentang Nor Azman Mohamad (PH) dan Datuk Razali Abu Samah (PN).

Tun Faisal yang juga Ketua Penerangan BERSATU berkata, kawasan bandar lama itu memerlukan suntikan pemodenan berikutan pelbagai isu infrastruktur terbiar, terutama penyelenggaraan kolam takungan banjir dan kolam kumbahan yang berisiko mengundang banjir serta wabak denggi.

Katanya, DUN Sikamat seolah-olah tidak menikmati pembangunan baharu, projek bandar pintar atau pembinaan rumah mampu milik, hingga menyebabkan ekonomi setempat pegun manakala anak muda berhijrah mencari pekerjaan.

"Keutamaan kita di Sikamat adalah menyediakan agenda pekerjaan moden, latihan kemahiran, teknologi hijau serta perumahan mampu milik.

"Kemudahan sukan sedia ada juga perlu dimanfaatkan untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi, seperti dalam bidang Muay Thai, hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Menyentuh strategi kempen, Tun Faisal mengimbangi pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah dengan penggunaan media sosial yang berkesan bagi menyasarkan pelbagai lapisan generasi pengundi.

"Platform media sosial penting untuk meluaskan capaian, namun yang paling utama ialah mesej yang jelas dan 'substance' (pengisian).

"Pengundi hari ini mahukan tawaran yang berasaskan perkhidmatan dan rekod prestasi yang boleh dipercayai, bukan sekadar retorik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan