BH Online
Ringkasan Berita

PRNNS: Warga emas ditahan selepas tular video cabut bendera parti politik

SEREMBAN: Seorang warga emas ditahan selepas videonya yang sedang mencabut bendera parti politik di kawasan Dusun Setia, Ampangan, di sini, tersebar sejak kelmarin.
PRNNS: Warga emas ditahan selepas tular video cabut bendera parti politik

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Seorang warga emas ditahan selepas videonya yang sedang mencabut bendera parti politik di kawasan Dusun Setia, Ampangan, di sini, tersebar sejak kelmarin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pada jam 2.54 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan polis berhubung kejadian beberapa bendera parti politik yang dipercayai dicabut.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dirakam orang awam dan kemudiannya tersebar di media sosial. Rakaman video berkenaan memaparkan seorang lelaki mencabut bendera parti politik yang dipasang di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata, bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 70-an kira-kira jam 9.45 malam tadi di sekitar bandar raya ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk merakam percakapan saksi serta mendapatkan analisis terhadap rakaman video berkenaan. Kes disiasat mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, sebanyak dua laporan polis diterima semalam, dan dua kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

"Secara kumulatif, sepanjang tempoh dari hari penamaan calon pada Sabtu lalu sehingga semalam, pihaknya menerima 14 laporan polis dan membuka sembilan kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan