SERDANG: Kerajaan Negeri Selangor disaran mempertimbangkan pembangunan semula Pasar Borong Selangor, dekat sini yang beroperasi sejak 2001 susulan kebakaran besar yang memusnahkan sebahagian premis di kawasan itu malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi, berkata pasar borong yang sudah beroperasi hampir 26 tahun itu perlu dinaik taraf supaya selari dengan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya serta memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula kira-kira jam 10.50 malam sebelum pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba sekitar jam 11.05 malam bagi menjalankan operasi pemadaman.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada JBPM yang bertindak pantas. Dalam tempoh yang singkat mereka berjaya mengawal kebakaran dan menjalankan operasi menyelamat dengan baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pasar Borong Selangor menjadi pusat bekalan makanan utama kepada beberapa kawasan termasuk Seri Kembangan, Kinrara, Subang dan sekitarnya, justeru pembangunan semula wajar dipertimbangkan.
Mengulas punca kejadian, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada unit forensik JBPM.
"Setiap kejadian ada puncanya. Kita serahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengeluarkan laporan rasmi. Jangan timbulkan pelbagai persepsi sebelum siasatan selesai," katanya.
Berdasarkan maklumat awal daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), premis yang terbakar disewakan kepada pihak ketiga dan menempatkan beberapa perniagaan termasuk menjual barangan plastik serta perkakasan.
Katanya, bahan mudah terbakar seperti plastik dipercayai menyebabkan api merebak dengan cepat, namun perkara itu masih tertakluk kepada hasil siasatan pihak bomba.
Pada masa sama, beliau menggesa PKPS memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula kawasan itu selepas siasatan selesai.
"Saya mencadangkan PKPS dan Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembangunan semula kawasan ini supaya lebih moden, selamat dan sesuai dengan pembangunan pesat di sekelilingnya," katanya.
Beliau turut meminta PKPS memastikan tapak kebakaran dikawal rapi selepas diserahkan semula oleh pihak bomba bagi mengelakkan individu yang tidak berkaitan memasuki kawasan berkenaan untuk mengambil sisa atau barangan.
Beliau berkata, kawasan itu juga perlu dipantau dengan lebih ketat bagi menangani isu kehadiran pendatang asing tanpa izin yang sering dibangkitkan penduduk setempat.
"Pembangunan semula bukan sahaja mampu meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pasar borong, malah dapat memperkemaskan aspek keselamatan serta pengurusan kawasan pada masa depan," katanya.
























