JELEBU: Masalah bekalan air dan elektrik di perkampungan Orang Asli menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abdul Kadir, andai diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Baginya, penyelesaian isu keperluan asas, penempatan generasi kedua Orang Asli dan pembangunan ekonomi setempat memerlukan usaha lebih komited.
Dikenali sebagai Cikgu Zainal, beliau berkata, masalah bekalan air dan elektrik di perkampungan Orang Asli dan isu pemilikan tanah yang masih berlarutan perlukan penyelesaian tuntas.
Kawasan Sungai Lui berpotensi besar dibangunkan menerusi sektor pertanian, pelancongan dan industri, sekali gus mengubah persepsi ia hanya bergantung kepada ladang getah dan sawit.
"Kita mahu memastikan rakyat menikmati keperluan asas yang sepatutnya kerana masih ada perkampungan Orang Asli berdepan masalah bekalan air dan elektrik walaupun negara sudah lama merdeka.
"Saya ingin mengubah naratif Sungai Lui, bukan sekadar kawasan peneroka atau perladangan, sebaliknya menjadi kawasan industri, pelaburan, pertanian moden dan sektor pelancongan," katanya selepas menyantuni penduduk di FELDA Lui Muda, di sini.
Zainal Fikri turut menjadikan penyelesaian isu geran tanah di Serampang Indah sebagai bukti komitmen kerajaan negeri pimpinan PH dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Sebahagian geran tanah diserahkan selepas campur tangan kerajaan negeri dan usaha itu akan diteruskan hingga semua peneroka yang layak menerima hak masing-masing.
Mengulas perjalanan kempen, bekas guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat itu berkata, penerimaan pengundi amat menggalakkan berikutan hubungan rapat yang terjalin sejak sekian lama.
Katanya, kematangan pengundi membolehkan mereka menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan rekod pentadbiran dan bukan dipengaruhi sentimen perkauman atau politik ketakutan.
"Rakyat hari ini mahukan kerajaan yang stabil, menjaga semua kaum dan terus mempertahankan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang untuk tiga penggal, Datuk Mohd Razi Mohd Ali dan calon BERSATU, Nazrulhisham Abdul Mansor.
DUN Sungai Lui menjadi tumpuan susulan kemenangan yang diraih Mohd Razi pada PRN 2023 mencatat majoriti 535 undi selepas memperoleh 6,939 undi bagi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Nordin Hashim yang meraih 6,404 undi.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, DUN Sungai Lui mempunyai seramai 19,684 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.
























