KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan gabungan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai percaturan pelik, bercelaru dan haru-biru.
Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada tindakan Barisan Nasional (BN) yang memilih untuk menjalinkan persefahaman dengan 'musuh' pada peringkat Kerajaan Persekutuan, iaitu Perikatan Nasional (PN), berbanding rakan dalam Kerajaan MADANI, Pakatan Harapan (PH).
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata begitu juga dengan tindakan PN yang sanggup mengetepikan rakan komponennya iaitu BERSATU, sehingga menyebabkan parti itu tiada pilihan lain dan terpaksa bertanding solo.
"Ia sudah menjadi satu percaturan pelik kerana bertanding sesama sendiri. BERSATU ini tak apalah sebab hak kita dinafikan. Sejarah PAS dengan UMNO ini sudah lama. Kalau ikut rekod, dia kahwin-cerai, bergaduh ke sana ke mari. Macam yang berlaku di Johor. Sebab itu, kami tidak boleh teruskan dengan PN kerana mereka haru-biru.
"Macam WAWASAN (parti komponen PN) pula ialah pengkhianat yang melakukan banyak kesalahan dan (pemimpinnya) dikenakan tindakan (dalam BERSATU).
"Jadi, BN-PN ialah gabungan pelik. PH pula, dalam Kerajaan Persekutuan bersama dengan BN tetapi bergerak asing di Negeri Sembilan," katanya dalam temu bual dengan BH, di sini.
PRN Ke-16 Negeri Sembilan menyaksikan PH bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara BN (25) dan PN (11).
BERSATU pula bertanding di 24 kerusi DUN, dengan sebahagian kerusinya bertembung dengan rakan gabungan di dalam PN.
 Tak mampu kekal lamaÂ
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, melihat kepada rekod sebelum ini, pihaknya yakin persefahaman BN-PN yang dibuat atas marriage of convenience tidak akan mampu kekal dalam tempoh panjang.
Beliau berkata, percaturan pelik itu dijangka membuatkan rakyat keliru, yang akhirnya memberikan kelebihan buat BERSATU.
"Mana hala tuju? Kalau BERSATU jelas. Kalau di sebelah sana, nanti dapat apa yang mereka hendak. Selepas itu, entah apa mereka lakukan. Sekarang pun sudah berbunyi sehingga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi amaran minta menteri Kabinet letak jawatan (jika mengkritik Kerajaan Perpaduan dalam kempen PRN).
"Ada juga kenyataan daripada pemimpin dalam BN mengatakan mereka sudah bersedia untuk membentuk kerajaan dan sebagainya itu.
"Jadi, kalau ikut bahasa mudahnya sudah haru-biru. Jadi, rakyat di bawah itu keliru.
"Apabila keliru, mereka tak tahu hendak buat keputusan bagaimana. Dalam situasi yang ada di Negeri Sembilan itu, gabungannya bercelaru. Sebab itu, kita masuk untuk memberi pilihan yang jelas," katanya.
Muhyiddin berkata, pihaknya menyangkal dakwaan BERSATU kacau daun, sebaliknya parti yang sudah berusia 10 tahun itu mempunyai barisan pemimpin yang pernah mempunyai pengalaman sebagai perdana menteri, menteri Kabinet dan menteri besar.
Katanya, tidak mustahil BERSATU boleh menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan kerana parti itu mempunyai merit pengalaman dari segi pentadbiran barisan kepimpinan.
"Bukan kita datang main-main untuk orang kata kacau daun. Ini bukan soal kacau daun. Apa kami tidak boleh tadbir Negeri Sembilan? Bukanlah mustahil sangat begitu. Antara tokoh dalam BERSATU ada yang pengalaman mentadbir negeri," katanya.
























